EMO MAP bantu murid urus emosi dengan lebih berkesan, menang pingat perak di VICE’25
Berita dan gambar Dr. Norasyikin Mohaiyuddin
SINTOK, 8 Disember 2025: Inovasi “EMO MAP: Self-Emotion Map and Healthy Mind – An Interactive Website for Students’ Emotional Management” hasil ciptaan Dr. Norasyikin Mohaiyuddin dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) dan Dr. Kamaruddin Yaakob dari Universiti Sultan Azlan Shah berjaya meraih pingat perak dalam Virtual Innovation Competition Exhibition (VICE’25), baru-baru ini.

Dr. Norasyikin berkata, The Virtual Innovation Competition Exhibition (VICE) 2025 merupakan program anjuran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi yang bertujuan menyediakan platform kepada pelajar serta pencipta muda untuk mengetengahkan idea dan projek inovasi.
Seiring dengan tema “Innovative Generation: From Ideas to Reality”, menurutnya, EMO MAP dibangunkan bagi meningkatkan literasi emosi murid sekolah rendah, membantu mereka mengenal pasti, memahami dan menamakan emosi yang dirasai dengan tepat.
“Inovasi ini turut menyediakan strategi regulasi kendiri dan teknik daya tindak positif yang boleh digunakan di sekolah atau di rumah, sekali gus memupuk daya tahan psikologi dan kesejahteraan emosi sejak awal persekolahan.
“Platform interaktif ini memberi ruang selamat untuk murid menilai emosi serta menerima panduan sokongan mental yang mudah difahami,” katanya.
Kejayaan di VICE’25 menunjukkan potensi besar EMO MAP untuk dikembangkan secara lebih meluas bagi kegunaan guru dan murid-murid di sekolah rendah.
Dr. Norasyikin turut merakamkan penghargaan kepada UUM dan semua yang memberi sokongan kepadanya dan ahli pasukan untuk menjayakan inovasi tersebut.



