Education

Empat pelajar SMMTC perluas perspektif serantau menerusi GLoPB Vol. 2

Berita dan gambar Nur Damisha Husna Zuli Hendra

MEDAN, 15 Julai 2026: Penyertaan empat pelajar Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Global Student Engagement Program (GLoPB) Vol. 2 anjuran Universitas Pembangunan Panca Budi (UNPAB), Medan, Indonesia yang berlangsung dari 2 hingga 7 Jun lalu.

Empat pelajar SMMTC yang mewakili UUM ialah Muhammad Al Arman Muhammad Al-Yusuff, Muhammad Syahmi Ishak, Nur Damisha Husna Zuli Hendra dan Nur Nadia Nabiela Mohd Zayadi yang turut diiringi oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SMMTC.

Muhammad Al Arman berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuhkan penghayatan terhadap budaya serantau, di samping memperluaskan jaringan antarabangsa serta kefahaman mengenai amalan kelestarian berasaskan kearifan tempatan.

“Penyertaan pelajar ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan melalui penyertaan aktif pelajar dalam program mobiliti antarabangsa,” katanya,

Program mobiliti antarabangsa yang bertemakan “Bridging Culture and Nature East Sumatera: Mangrove Conservation through Melayu Local Wisdom” itu menghimpunkan 19 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, China, dan Nigeria.

Selain UUM, turut mengambil bahagian ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, International Islamic University Malaysia (IIUM), Krirk University Thailand, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) serta Universitas Pembangunan Panca Budi (UNPAB) selaku penganjur.

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian akademik dan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman termasuk International Sharing Session, syarahan umum berkaitan pemuliharaan ekosistem bakau serta kepentingan kearifan tempatan dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

Selain itu, peserta turut mengadakan lawatan ke beberapa lokasi bersejarah di Sumatera Utara seperti Masjid Raya Al-Mashun, Istana Maimun dan Istana Kesultanan Langkat bagi mendalami sejarah, seni bina serta warisan budaya Melayu di wilayah tersebut.

Program ini turut memberi peluang kepada peserta menyertai aktiviti konservasi bakau di Kampung Nipah, sekali gus memberikan pengalaman secara langsung mengenai usaha pemuliharaan ekosistem pesisir pantai bersama komuniti setempat. Aktiviti tersebut selaras dengan objektif program untuk menghubungkan pendidikan, budaya dan kelestarian alam melalui pendekatan pembelajaran di lapangan.

Peserta, Nur Nadia Nabiela Mohd Zayadi berkata, program tersebut memberikan pengalaman bermakna dalam memahami kepelbagaian budaya dan kepentingan kerjasama antarabangsa.

“Program ini memberi peluang kepada kami untuk mengenali budaya dan sejarah Sumatera Utara dengan lebih dekat, selain bertukar pengalaman bersama peserta dari pelbagai negara. Ia membuka perspektif baharu tentang kepentingan kelestarian alam dan kerjasama rentas budaya,” katanya.

Penyertaan pelajar SMMTC dalam GLoPB Vol. 2 selaras dengan usaha Universiti Utara Malaysia memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan melalui penyertaan aktif pelajar dalam program mobiliti, pertukaran budaya dan kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi luar negara.

Pengalaman ini diharap dapat melahirkan graduan yang berfikiran global, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat di peringkat antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button