Felo penyelidik IHM kongsi pengalaman pensijilan halal di UIN Mataram
Berita dan gambar Prof Madya Dr. Syarifah Md Yusof dan Prof. Madya Dr. Azizah Othman
LOMBOK, 29 Mei 2025: Tiga felo penyelidik daripada Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput untuk berkongsi kepakaran dalam pensijilan halal bersama pensyarah dan pelajar Fakulti Syariah, Universitas Islam Negeri (UIN) Mataram, Indonesia, sempena program lawatan akademik yang berlangsung dari 4 hingga 10 Mei lalu.
Delegasi UUM yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof, Dr. Nor Aina Mhd Khotib dan Prof. Madya Dr. Azizah Othman itu telah menyampaikan pembentangan ilmiah dalam bidang tadbir urus pensijilan halal, pembangunan bakat halal, dan hospitaliti halal.
Dalam pembentangan Dr. Syarifah Md Yusof menjelaskan struktur tadbir urus pensijilan halal di Malaysia yang merangkumi kerangka perundangan, peranan agensi penguatkuasaan, serta amalan terbaik yang boleh dijadikan model oleh negara-negara lain.
Pengarah IHM, Dr. Nor Aina pula menekankan kepentingan membangunkan bakat halal melalui kurikulum pendidikan dan latihan industri yang holistik bagi memenuhi keperluan sektor halal global.
Sementara itu, Dr. Azizah menerangkan kepentingan konsep hospitaliti halal khususnya dalam konteks Lombok sebagai salah satu destinasi utama pelancongan halal di rantau Asia Tenggara.
Dalam sesi interaksi bersama pensyarah dan pelajar, beliau turut menyatakan bahawa konsep halal hospitaliti yang diketengahkan amat bertepatan dengan aspirasi Lombok sebagai pusat Wisata Halal, dan IHM bersedia untuk berkongsi kepakaran secara berterusan dalam usaha mempertingkatkan amalan dan standard industri hospitaliti halal di wilayah tersebut.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), IBS, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof berkata, program ini bukan sahaja memberi pendedahan berharga kepada warga fakulti berkenaan dinamika pensijilan halal di Malaysia, malah turut menjadi platform untuk memperkenalkan IHM di peringkat antarabangsa.
Beliau turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berstruktur bagi mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua institusi.
Selain sesi perkongsian ilmu, kedua-dua pihak turut mengadakan perbincangan strategik bagi menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan ilmiah serta program mobiliti pensyarah dan pelajar.
Delegasi UUM yakin bahawa sinergi antara IHM, IBS dan Fakulti Syariah, UIN Mataram akan memberi impak positif kepada pembangunan ilmu serta memperkukuh jaringan akademik serantau dalam bidang pengurusan halal dan ekonomi Islam.- PM Dr. Syarifah Md Yusof dan PM Dr. Azizah Othman.