Festival Komuniti MADANI @ Kampung: Kolaborasi akademik dan sosial
Gambar Prof. Madya Rozita Arsyad
KUALA NERANG, 5 Mei 2025: Festival Komuniti MADANI @ Kampung yang berlangsung pada 25 April lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Palas merupakan sebuah program komuniti yang bersifat kolaboratif antara institusi akademik dan masyarakat setempat.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) Universiti Utara Malaysia (UUM), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), koperasi tempatan dan SK Kubang Palas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Industri dan Khidmat Komuniti, SOG, Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak berkata, program ini menghimpunkan pelbagai agensi dan komuniti dalam satu platform yang merangkumi pendidikan, sosial, ekonomi, digitalisasi, kesihatan, seni, budaya dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pihak universiti dan komuniti luar bandar, selain memupuk semangat kenegaraan, kesukarelawanan dan cintakan masyarakat dalam kalangan pelajar, belia serta penduduk setempat.
Program ini turut memberikan penekanan kepada pemerkasaan komuniti dari segi ilmu keusahawanan, kemahiran digital, kesedaran kesihatan serta penghargaan terhadap warisan budaya tempatan.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah Kahoot Kenegaraan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia, forum santai belia MADANI, gotong-royong pembersihan sekolah, pemeriksaan kesihatan percuma, Klinik Keusahawanan Desa, dan bengkel digital asas merangkumi Canva, Shopee dan WhatsApp Business.
Program diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Program ini juga meriah dengan pelbagai pertandingan kanak-kanak seperti mewarna dan kuiz tradisi, persembahan teater kampung MADANI oleh pelajar dan komuniti, serta aktiviti seni komuniti bertajuk “Harapan Kami untuk Kampung” yang memberi ruang ekspresi kepada generasi muda tentang impian masa depan desa mereka.
Dalam semangat kebersamaan dan keprihatinan, satu penyerahan simbolik Pakej Rezeki Raya kepada golongan memerlukan turut dilaksanakan sebagai inisiatif CSR.
Festival Komuniti MADANI @ Kampung berjaya membuktikan bahawa pendekatan pembangunan komuniti secara partisipatif melalui kerjasama antara universiti, agensi dan masyarakat dapat memberikan impak besar kepada usaha memperkasa komuniti luar bandar. – Dr. Nor Suzylah Sohaimi