Forum Kewangan dan Pengurusan Halal bincang aspek perancangan kewangan bersama komuniti FELCRA
Berita dan gambar Mohamad Yazid Isa
PERLIS, 28 Disember 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) bekerjasama dengan Dana Sosial Takaful menganjurkan Forum Kewangan Islam dan Pengurusan Halal 2025 di FELCRA Lubuk Sireh pada 20 Disember lalu.
Forum yang melibatkan tiga institusi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) ini membincangkan aspek perancangan kewangan dan kesejahteraan komuniti kepada 100 peserta yang terdiri dari warga komuniti FELCRA dan warga UUM.

Panel terdiri dari Pengurus Cawangan RHB Bank Kangar, Mohd Noor Mohd Akhir dan Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah Kubang Pasu, Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor serta bersama moderator Dr. Mohamad Yazid Isa, Pengurus Dana Sosial Takaful (STF), IBS, UUM.
Pengarah Program, Dr Nor Aina Mhd Khotib berkata, forum ini memberi kesedaran kepada peserta terutama komuniti yang terpinggir dari arus semasa dalam mendapatkan pendedahan kepada perancangan kewangan dan isu sosial terkini.

Menurutnya, forum ini turut memberi peluang kepada warga FELCRA Lubuk Sireh mendapatkan informasi berkaitan kewangan dan permasalahan sosial masakini.
“Ia menekankan kepada kepentingan perancangan kewangan bagi memastikan kesejahteraan sosial dan kewangan dalam keluarga dan masyarakat.
“Forum ini juga diadakan bersempena dengan program komuniti IBS “Karnival Kewangan Islam dan Pengurusan Halal 2025” yang diadakan pada 18-20 Disember 2025 di FELCRA Lubuk Sireh,” katanya.



