Education

Gula membunuh dalam diam

SINTOK, 15 Jun 2025: Gula itu manis tetapi bila berlebihan, ia boleh membunuh. Bukan secara mengejut. Tapi perlahan-lahan, dalam diam. Hari ini satu cawan teh tarik. Esok satu botol air gas. Lusa sekeping kek. Bertahun-tahun kita menelan manis tanpa sedar, hingga satu hari tubuh tidak lagi mampu bertahan akhirnya, kita terlambat.

Ramai antara kita menggemari makanan dan minuman manis seperti teh tarik, ABC, kek coklat, air gas, dan bingsu. Sedap memang sedap, tapi tahukah anda bahawa di sebalik rasa manis itu tersembunyi bahaya yang boleh menjejaskan kesihatan?

Yang menakutkan, gula membunuh perlahan-lahan. Tidak seperti rokok atau alkohol yang sering dipersalahkan, gula jarang dianggap bahaya sedangkan kesannya lebih dahsyat.

Gula bukanlah haram, tapi jika tidak dikawal, ia boleh menjadi punca kemusnahan tubuh, kewangan dan masa depan. Jangan tunggu sehingga terkena strok, hilang kaki atau terpaksa cuci buah pinggang baru mahu berubah.

Kesedaran ini semakin penting, terutama selepas mendengar khutbah bertajuk “Kepentingan Pemakanan Sihat dan Bahaya Pengambilan Gula Berlebihan” yang disampaikan oleh Ustaz Sharif Abdussalam Sharif Saad di Masjid Sultan Badlishah, UUM.

Isi khutbah tersebut memberi peringatan jelas kepada umat Islam tentang bahaya gula dan pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat.

“Gula memang manis, tetapi jika diambil secara berlebihan, ia boleh membawa pahit dalam kehidupan.

“Sedarilah! Banyak bahan makanan yang diproses, antaranya roti, bijirin dan sos, mempunyai kandungan gula tersembunyi. Kebanyakan masakan kegemaran rakyat Malaysia, juga mengandungi gula berlebihan,” ujarnya.

Katanya, pengambilan gula secara berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis yang menjadi punca kepada pelbagai penyakit seperti kerosakan saraf, kerosakan buah pinggang, masalah penglihatan, dan risiko serangan jantung serta strok.

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menjaga tubuh badan kerana ia adalah amanah dari Allah SWT. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”

Ustaz Sharif mengingatkan bahawa menjaga kesihatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda syukur atas nikmat yang Allah kurniakan.

Beliau menyeru umat Islam mengambil langkah yang dituntut oleh agama berusaha menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan mengawal pengambilan gula.

“Mulakan dengan mengurangkan gula dalam minuman serta masakan di rumah. Memadai hadkan hanya satu sudu teh gula ke dalam minuman panas atau latih diri mengambil minuman tanpa gula. lagi baik, jadikan air kosong sebagai pilihan utama.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita tentang kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuk dalam pemakanan.

Baginda bersabda: “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak dapat (menjaga batas itu), maka hendaklah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.”                                                                                                                     (Hadis riwayat Tirmizi)

Hadis ini menekankan kepentingan kesederhanaan ketika makan dan minum. Kita tidak seharusnya makan sehingga terlalu kenyang, tetapi cukuplah dengan makan sekadar yang perlu untuk memberikan tenaga kepada tubuh badan.

Pengarah Program Health Campaign: War On Sugar, Nurul Suryati Rabihah Shaari berkata, pembacaan teks khutbah semasa Sembahyang Jumaat ini sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran kesihatan yang dijalankan oleh pelajar kursus SCCAK2073 Public Relations (B) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN Kedah).

“Usai Sembahyang Jumaat, kami memberikan secawan air mineral yang dihiris buah lemon, timun dan juga daun pudina tanpa gula serta sebiji buah epal kepada jemaah.

“Kami juga mengadakan aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma dengan kolaborasi dari Klinik Kesihatan Kubang Pasu dan Jitra. Pemeriksaan yang  dilakukan antaranya pemeriksaan BMI, tekanan darah, kolestrol dan glukos.

“Jadi, warga UUM yang tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan atau sudah lama tidak membuat pemeriksaan, berpeluang melakukannya dengan percuma   tanpa sebarang bayaran,” tambahnya.

Seorang jemaah, Muhammad Noor Fitri Ahmad berkata, khutbah tersebut dapat memberi kesedaran kepada jemaah mengenai kempen kesedaran dan meningkatkan pemakanan berkhasiat selari dengan visi dan misi kesihatan negara.

“Setiap sudu gula yang dikurangkan adalah satu langkah menjauhi penyakit dan mendekati kehidupan yang lebih berkualiti. Aktiviti fizikal yang konsisten, tidur yang mencukupi, pengurusan stres dan pengambilan makanan seimbang juga perlu diberi perhatian.

“⁠Program saringan kesihatan ini memberi ruang kepada komuniti dengan lebih dekat, terutama pelajar UUM, memandangkan umur yang muda bukan jaminan untuk tidak fokus kepada kesihatan.

“Saringan kesihatan tidak hanya fokus pada pemeriksaan fizikal tetapi melihat juga pada tahap kesihatan mental yang perlu dititik beratkan,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button