Education

I-Wealth IBS kukuh jalinan kerjasama industri bersama Iconix Group

Berita dan gambar Dr. Muhammad Fakhirin Che Majid

KEPALA BATAS, 29 Januari 2026: I-Wealth Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memenuhi jemputan rasmi daripada Iconix Group dalam satu lawatan industri yang berlangsung di Bertam, Pulau Pinang.

Lawatan ini menjadi penanda aras penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara IBS UUM dengan pemain industri dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam.

Delegasi I-Wealth IBS diketuai oleh Pengarahnya, Dr. Muhammad Fakhirin Che Majid bersama barisan akademik iaitu Dr. Amirul Faiz Osman, Dr. Muhamad Fikri Aziz dan Dr. Muhamad Abrar Bahaman. Kehadiran delegasi ini mencerminkan komitmen serius IBS UUM dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik bersama industri.

Lawatan ini telah disambut oleh Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Urusan Iconix Group, Mohd Hazrin Firdaus Hashim yang turut berkongsi visi serta hala tuju syarikat dalam memperkukuhkan ekosistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia.

Dr. Muhammad Fakhirin berkata, kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen I-Wealth IBS UUM dalam merapatkan jurang antara akademia dan industri bagi melahirkan graduan kewangan Islam yang berdaya saing, beretika dan relevan dengan keperluan semasa industri.

Menurutnya, antara agenda utama kerjasama yang telah dibincangkan dalam sesi perbincangan tersebut adalah penempatan latihan industri (internship) bagi pelajar Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB) serta Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (BMA) di bawah seliaan dan bimbingan profesional oleh Iconix Group.

Penawaran Sijil Profesional daripada 1-Wealth IBS, termasuk Sijil Profesional Islamic Financial Planner, serta peluang pengajian Ijazah Sarjana Muda IBS kepada ejen-ejen di bawah naungan Iconix Group.

Penganjuran Industrial Talk sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman industri dan pendedahan awal kepada realiti kerjaya dalam sektor kewangan dan perbankan Islam.

Perbincangan awal berkaitan pemeteraian Surat Hasrat (LOI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai asas kepada kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak.

Kerjasama strategik ini dijangka dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dalam aspek pendedahan industri, kebolehpasaran graduan serta pemindahan ilmu secara langsung daripada pemain industri, selari dengan aspirasi IBS UUM untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan beretika.

I-Wealth IBS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Iconix Group atas jemputan dan komitmen yang diberikan, serta berharap kerjasama ini dapat direalisasikan secara berimpak dan mampan pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button