IKHLAS Padawan siapkan graduan UUM hadapi dunia pekerjaan
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal
KUALA LUMPUR, 28 Disember 2025: Seramai 26 peserta program IKHLAS Padawan diraikan dalam satu majlis graduasi yang berlangsung di Ibu Pejabat Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB) pada Isnin lalu.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan TIFB melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) di bawah inisiatif School of Hard Knocks (SoHK), yang memberi penekanan kepada pendedahan industri sebenar, pembinaan kemahiran insaniah serta pembangunan profesional pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Majlis graduasi dimulakan dengan ucapan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TIFB, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen peserta yang berjaya menamatkan program serta menekankan kepentingan kerjasama industri–akademia dalam melahirkan graduan berkualiti.
“IKHLAS Padawan diwujudkan sebagai platform untuk membentuk graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mempunyai disiplin kerja, etika profesional dan kefahaman mendalam tentang industri takaful.
“Takaful IKHLAS komited untuk terus menyokong pembangunan bakat muda sebagai pelaburan strategik jangka panjang negara,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pengalaman praktikal yang diterima oleh peserta melalui program ini mampu meningkatkan keyakinan diri serta kesiapsiagaan mereka untuk menyertai pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Ucapan seterusnya disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TIFB atas sokongan berterusan terhadap agenda kebolehpasaran graduan UUM.
“Kerjasama antara UUM dan TIFB melalui program IKHLAS Padawan membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan industri mampu memberi impak besar kepada pembangunan pelajar.
“Program ini selari dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar,” katanya.
Muhammad Iskandar berkata, kejayaan program ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan SoHK sebagai platform strategik universiti dalam merapatkan jurang antara teori akademik dan keperluan industri.
Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian sijil graduasi kepada 26 IKHLAS Padawan yang telah berjaya menamatkan program.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Wan Ahmad Najib diiringi oleh Muhammad Iskandar Zulkarnain sebagai pengiktirafan rasmi terhadap pencapaian peserta.
Turut menjadi acara penting dalam majlis ini ialah sesi menandatangani dokumen Surat Hasrat (LoI) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik antara UUM dan TIFB.
LoI tersebut telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TIFB dan Pengarah JHEP UUM menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan kolaborasi dalam pembangunan modal insan, latihan industri dan kebolehpasaran graduan pada masa akan datang.
Majlis graduasi ini turut diserikan dengan kehadiran delegasi dari UUM, antaranya Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah; Pengurus Social Takaful Fund (STF), Dr. Mohd Yazid Isa serta dua pensyarah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).
Selain itu, wakil-wakil agensi di bawah TIFB seperti Usrah Associates, Zul Hijrah Resources dan Al Fateh Consulting turut hadir bagi memberi sokongan serta memperkukuhkan jaringan kerjasama industri.



