“iMathKidzPlaygroup” beri impak tinggi kepada motivasi dan penguasaan Matematik murid luar bandar
Gambar Nur Syafiqah Faidzul Hassan
KUBANG PASU, 20 Mac 2025: Pasukan penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membentangkan impak program iMathKidzPlaygroup kepada semua pemegang taruh di dalam sesi Wacana IETLE yang berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu, baru-baru ini.
Program inovasi sosial iMathKidzPlaygroup tersebut telah berlangsung selama enam minggu yang melibatkan 60 murid luar bandar berumur 10 hingga 12 tahun dari komuniti Mukim Jeram, Tunjang.
Pengarah IETLE, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin berkata, program yang bertujuan untuk meningkatkan motivasi belajar Matematik seterusnya meningkatkan penguasaan operasi asas dan penyelesaian masalah Matematik dalam kalangan murid luar bandar ini dilaksanakan melalui Skim Geran Inovasi Sosial, di bawah Centre for University-Industry Collaboration (CUIC), UUM.
Program dimulakan dengan memaparkan tayangan video pelaksanaan program yang merangkumi enam modul, Saya dan Math, Operasi Asas, Sifir Warrior, Ops Masalah 1, Ops Masalah 2 dan terakhir Saya Love Math. Pelbagai aktiviti interaktif berserta penggunaan bahan bantu mengajar yang realistik sepanjang program berlangsung telah dikongsikan dalam tayangan tersebut.
Hasil analisis refleksi murid mendapati, mereka sangat seronok menyertai program ini, namun berasa sedih kerana ianya telah berakhir. Peserta juga menyatakan bahawa modul Sifir Warrior dan aktiviti Math Race antara yang paling menarik dan berkesan sepanjang program ini berlangsung.
Sementara itu, Ahli penyelidik, Zolkefli Bahador berkata, Math Race yang terdiri daripada empat stesen pembelajaran dilihat telah mencuri tumpuan murid kerana mengetengahkan pendekatan belajar sambil bermain dengan ciri pertandingan berkumpulan. Kesemua stesen mengetengahkan aktiviti pembelajaran yang berbeza, realistik dan bermakna.
Sebagai contoh, peserta menggunakan reben berwarna dan pita ukur untuk mengukur dan menentukan unit panjang. Selain itu, jag dan air digunakan untuk mengukur isipadu cecair, manakala penimbang digunakan bersama bahan sebenar seperti tepung, serbuk koko dan gula untuk menentukan berat sesuatu jisim. Lebih menarik, buah kelapa, spesimen wang dan bola berwarna digunakan untuk memahami konsep nisbah.
Pembentangan diteruskan oleh ahli penyelidik, Dr. Nurliyana Bukhari yang merumuskan dapatan impirikal analisis terhadap soal selidik serta ujian pra dan pasca yang telah dilaksanakan bagi mengukur impak program. Hasil ujian-t berpasangan menunjukkan terdapat peningkatan yang signifikan dalam sikap terhadap Matematik dan juga pengetahuan Matematik.
“Tahap impak berada dalam kategori besar bagi sikap, dan sederhana ke besar bagi pengetahuan. Ini menandakan bahawa intervensi yang dijalankan memberi impak yang kuat terhadap peningkatan sikap positif terhadap Matematik dan juga penguasaan Matematik murid,” katanya.
Dalam pembentangan tersebut, pasukan penyelidik turut berkongsi cadangan melestarikan program tersebut melalui program lanjutan iMathKidz Playgroup Magical Bootcamp yang telah memperolehi dana daripada Universiti Malaya Global Transformative Research Grant (UMGTRG).
Pasukan penyelidik juga telah mengadakan sesi penilaian awal bersama empat Jurulatih Utama (JU) Matematik Kubang Pasu bagi mendapatkan input penambahbaikan modul untuk pelaksanaan program akan datang.
Sesi pembentangan telah dihadiri oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Faisul Aris Othman; Timbalan Pengarah Penglibatan Komuniti, CUIC, Muhammad Husaini Salleh; Penghulu Mukim Jeram, Mohamad Affendy dan Pengerusi MKK Kg. Chegar, Azizan Hassan yang merupakan wakil pemberi dana, kolaborator agensi pendidikan dan komuniti yang terlibat.
Turut serta, Dekan, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, ahli penyelidik daripada Pusat Pengajian Pendidikan, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Hosba, dan fasilitator yang terlibat dalam program iMathKidzPlaygroup. – Fathini Badrudin