Education

IMPACT 2025 pacu inovasi pendidikan digital dan pembinaan karakter global

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin

SINTOK, 4 September 2025: International Mobility Programme for Academic and Collaborative Transformation (IMPACT 2025) anjuran Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan penglibatan Universitas PGRI Adi Buana (UNIPA) Surabaya, Indonesia telah dilaksanakan dengan menonjolkan impak besar terhadap inovasi pendidikan digital, pembangunan kurikulum berdampak, dan pembinaan karakter global.

Program yang berlangsung mulai 19 Ogos hingga 3 September lalu telah menghimpunkan seramai 36 pelajar pascasiswazah UNIPA yang mengambil bahagian dalam siri aktiviti akademik, bengkel dan sesi perkongsian ilmu bersama pensyarah UUM.

Kehadiran mereka bukan sahaja membuka ruang kepada interaksi rentas budaya, malah memperkayakan pengalaman antarabangsa yang menghubungkan wacana akademik dengan agenda pendidikan global.

Sebagai acara kemuncak, IMPACT 2025 menampilkan sesi ilmiah berfokus kepada pendidikan digital dan inovasi pedagogi. Perbincangan serta pembentangan memberi penekanan kepada pelbagai isu kontemporari termasuk teknologi disruptif dalam pengajaran, kepimpinan ICT, gamifikasi, media interaktif, flipbook digital, serta integrasi kemahiran insaniah dalam kurikulum.

UUM menampilkan tiga tenaga akademik sebagai pembicara utama, iaitu Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOE, Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin; Pengarah IETLE, Dr. Siti Nazuar Sailin,  serta Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti SOE, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.

Dr. Siti Nazuar berkata, pendidikan digital sangat penting sebagai pemacu utama transformasi kurikulum, khususnya dalam mempersiapkan pendidik menghadapi cabaran era Revolusi Sosial 5.0.

Menurutnya, fokus utama kini tertumpu kepada Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang sedang dibangunkan bagi menggantikan kurikulum sedia ada.

Dr. Nor Hasimah turut menegaskan bahawa KP2027 menekankan integrasi pendidikan digital, pemupukan kemahiran insaniah, serta pembinaan karakter murid agar kurikulum lebih progresif, inklusif, dan adaptif.

“Hal ini sejajar dengan hala tuju Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada kualiti pembelajaran, keterangkuman, serta keberkesanan pengajaran berasaskan teknologi,” katanya.

Universitas PGRI Adi Buana turut menampilkan tiga pensyarah mereka sebagai pembicara utama iaitu Dr. H. Rufi’i dengan tajuk Innovative Teaching Evaluation/Assessment; Dr. Sabariah dengan topik Educational Philosophy and Management, serta Sulistiami yang membentangkan Soft Skills Integration in Curriculum.

Perkongsian ini menekankan pembangunan kurikulum berdampak di Indonesia, iaitu kurikulum yang memberi kesan langsung terhadap pelajar, masyarakat, dan dunia pekerjaan. Dalam masa yang sama, aspek pendidikan karakter turut diketengahkan sebagai asas pembentukan insan holistik, yang bukan sahaja menekankan kecerdasan kognitif tetapi juga nilai, etika, dan sikap bagi memastikan keseimbangan intelektual, spiritual, dan sosial dalam kalangan peserta didik.

Dr. Mardzelah berkata, keseluruhan pengisian IMPACT 2025 ini bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkenalkan KP2027 serta PPPM 2026–2035 yang menekankan inovasi pendidikan digital, penguasaan kemahiran insaniah, dan pembinaan karakter.

Pada masa sama, menurutnya, program ini juga memperkukuh hubungan akademik antarabangsa dengan membawa input daripada pengalaman Indonesia dalam melaksanakan kurikulum berdampak yang berorientasikan kesan nyata terhadap pelajar dan masyarakat.

“IMPACT 2025 telah membuktikan bahawa inovasi pendidikan digital, kurikulum berdampak, dan pendidikan karakter merupakan tiga elemen penting yang saling melengkapi dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21.

“Melalui platform ini, UUM terus memperkukuh peranan sebagai institusi yang menerajui agenda transformasi pendidikan global, mengangkat martabat universiti ke persada antarabangsa serta mendukung visi Malaysia Madani melalui penghasilan pendidik global yang berilmu, beretika dan berdaya saing,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button