InsPEK beri pendedahan asas kepada penyelidik UUM berkaitan Projek Pemetaan Komuniti, Pemantauan dan Sistem i-Box
Gambar IPIZ
SINTOK, 7 Mei 2025: Satu sesi perkongsian ilmu berkaitan Projek Pemetaan Komuniti, Pemantauan dan Sistem i-Box telah dianjurkan secara dalam talian menerusi platform Webex, dengan penyertaan lebih 50 peserta dalam kalangan staf akademik dari pelbagai pusat pengajian.
Sesi itu menampilkan pakar rujuk jemputan dari Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail, yang memberikan pendedahan berkenaan kaedah pemetaan komuniti dan pemantauan menggunakan sistem i-Box yang telah dibangunkan dan berjaya digunakan oleh pihak InsPeK.
Menurutnya, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerjasama antara InsPeK dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dalam usaha membantu melaksanakan pemetaan komuniti asnaf zakat secara sistematik di negeri Kedah Darulaman.
“Sistem i-Box yang diketengahkan berfungsi sebagai satu pangkalan data ‘in-house’ yang dibentuk dalam bentuk interaktif yang mana data boleh dipaparkan mengikut kehendak pengguna berasaskan data yang disimpan di dalamnya,” katanya.
Sepanjang sesi perkongsian, Dr. Wan Ahmad Amir Zal turut memberi pendedahan berkaitan tujuan pemetaan komuniti dan cara pelaksanaan pemetaan komuniti tersebut.
Beliau yang merupakan Pengarah InsPEK juga berkongsi teknik yang digunakan untuk menganalisis potensi komuniti untuk memastikan pemilihan sampel yang sesuai bagi tujuan penyelidikan dan perundingan.
Sebagai susulan, pihak IPIZ akan melakukan hebahan penawaran geran projek penyelidikan dan perundingan kepada pusat pengajian, dengan kerjasama pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi merealisasikan pelaksanaan projek ini di Kedah secara menyeluruh.
Usaha ini dijangka mampu memperkukuh lagi sistem pemantauan dan pengurusan data berkaitan komuniti setempat, sekali gus menyumbang ke arah penyelesaian berimpak tinggi dalam menangani isu kemiskinan dan pembangunan komuniti yang inklusif di Kedah Darulaman. – Aida Farzana Mohamad Hafizie