IPDM teroka kerjasama strategik bersama PPD Kubang Pasu bagi pemerkasaan kepimpinan pelajar sekolah
Berita dan gambar Mohammad Taufiq Othman
JITRA, 23 Julai 2026: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam penganjuran latihan dan modul kepimpinan khas untuk pelajar sekolah di daerah ini.

Kunjungan yang dihadiri oleh Pengarah IPDM, Prof. Madya Dr. Mohd Khairudin Kasiran bersama Timbalan Pengarah dan Penolong Pengarah IPDM tersebut bertujuan untuk merancang program pembangunan bakat serta sahsiah murid secara berkelanjutan.
Dr. Mohd Khairudin berkata, menerusi pertemuan ini, pelbagai cadangan serta pengisian modul kepimpinan berimpak tinggi telah dibincangkan agar dapat disesuaikan dengan keperluan semasa murid-murid di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Pihak PPD Kubang Pasu yang dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah, Ishak Zulkifli dan Timbalan PPD, Sektor Perancangan, Mohamad Nahar Md Isa menyambut baik kehadiran delegasi IPDM dan melahirkan rasa penghargaan atas inisiatif proaktif yang ditunjukkan.

Pihak PPD turut menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha sama ini yang dilihat berupaya membina serta melahirkan generasi kepimpinan muda yang berkaliber, berdaya saing, dan berintegriti.
Kerjasama strategik ini dijangka bakal merealisasikan pelbagai program modul kepimpinan yang komprehensif, seterusnya memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan modal insan dan kecemerlangan pelajar di seluruh daerah Kubang Pasu.



