Education

JAKSIN 2026 erat hubungan antara pelajar dengan masyarakat Pulau Tuba

Berita dan gambar Nurfarisa Liyana Mohd Fairol Zaibidi

LANGKAWI, 4 Ogos 2026: Program Jalinan Kasih Siswa Inapan Siswa (Inasis) TNB (JAKSIN) 2026 anjuran Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa/Residen (JKPS/RS) INASIS TNB, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menghimpunkan pelajar dan komuniti Pulau Tuba menerusi pelbagai aktiviti yang berteraskan kesukarelawanan, kemasyarakatan dan pembangunan sahsiah.

Pengarah Program, Nurfarisa Liyana Mohd Fairol Zaibidi berkata, program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar dengan masyarakat setempat, di samping memberi peluang kepada peserta menghayati kehidupan komuniti melalui konsep keluarga angkat.

Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan pelajar mempelajari budaya, nilai kehidupan serta semangat kejiranan yang diamalkan oleh penduduk Pulau Tuba.

“Semangat kesukarelawanan diterapkan menerusi aktiviti gotong-royong di kediaman sebuah keluarga asnaf yang mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Pelajar berganding bahu membersihkan bahagian dalam dan luar rumah sebagai tanda keprihatinan serta usaha membantu meringankan beban keluarga tersebut. Aktiviti ini turut memupuk nilai empati, kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta,” katanya.

Nurfarisa berkata, program JAKSIN bukan sekadar memberi peluang kepada peserta menyumbang kepada masyarakat, malah menjadi platform membentuk graduan yang berjiwa sukarelawan, berdaya kepimpinan serta prihatin terhadap komuniti.

Selain itu, program bersama kanak-kanak TABIKA melalui aktiviti mewarna, sukaneka dan permainan interaktif berjaya menceriakan mereka di samping meningkatkan keyakinan diri, kreativiti serta kemahiran berkomunikasi. Penglibatan pelajar UUM dalam aktiviti ini turut mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat dan memberikan pengalaman berharga dalam mengendalikan program kemasyarakatan.

Majlis penutup program diserikan dengan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada wakil komuniti serta penyampaian sumbangan kepada keluarga angkat yang telah menerima dan membimbing peserta sepanjang program berlangsung. Penghargaan tersebut mencerminkan eratnya kerjasama antara Universiti Utara Malaysia dan komuniti Pulau Tuba dalam menjayakan program berimpak tinggi ini.

Secara keseluruhannya, Program JAKSIN 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuhkan hubungan antara pelajar UUM dan komuniti Pulau Tuba. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan sentiasa cakna terhadap keperluan masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button