Kanjeng Sultan Kacirebonan perkenan terima Rombongan UUM-Inasis Proton
Berita dan gambar Ahmad Syafiqul Syamil Ahmad Hisham
CIREBON, 4 September 2025: Rombongan Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Inapan Siswa (Inasis) Proton, dengan kerjasama Universitas Swadaya Gunung Jati (UGJ) dan Universiti Sains Malaysia (USM), diberi penghormatan apabila diperkenan menghadap Kanjeng Sultan Abdul Gani Natadiningrat IX, Sultan yang memerintah Kraton (Istana) Kacirebonan pada masa kini.
Kunjungan itu bersempena program International Outbound Mobility: Serantau Sejahtera Misi Komuniti Lestari (SSMKL) dan Kuliah Kerja Nyata (KKN).
Dalam sesi penuh adat istiadat di istana bersejarah itu, baginda Sultan menyampaikan taklimat khas mengenai sejarah, kebudayaan dan kemasyarakatan masyarakat Cirebon.
Baginda turut menitipkan pesanan tentang pentingnya melestarikan warisan budaya Nusantara sebagai tonggak jati diri bangsa, selain menghargai kepelbagaian budaya sebagai asas kekuatan bersama.
Lebih bermakna, Kanjeng Sultan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UUM amnya, serta Inasis Proton khususnya, kerana memilih Cirebon sebagai destinasi pembelajaran silang budaya dan kemasyarakatan.
Baginda menyatakan harapan agar hubungan akademik dan persahabatan antara Cirebon, Malaysia dan dunia akademik Nusantara terus diperkukuh melalui jalinan kerjasama antara UUM, UGJ dan USM.
Majlis Tertinggi Seliaan Program, Nur Syafiza Atikah Shahrifuzain berkata, pengalaman menghadap Sultan merupakan satu penghormatan yang amat bernilai.
“Kami sangat berbesar hati kerana diberi peluang mendengar sendiri titah dan pandangan Kanjeng Sultan.
“Ia bukan sahaja membuka mata tentang kekayaan budaya Cirebon, tetapi juga mengajar kami tentang nilai kepimpinan, toleransi dan kearifan tempatan,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin berkata, pengalaman ini merupakan detik bersejarah buat pelajar.
“Penghormatan yang diberikan oleh pihak istana ini jelas membuktikan hubungan baik antara dua institusi di rantau ini, sekali gus memperkukuhkan misi pengantarabangsaan UUM serta membentuk nilai pelajar kebangsaan yang berwawasan global dan berakar budaya,” katanya.
Lawatan rasmi ke Kraton Kacirebonan ini melengkapkan siri program Mobliti SSMKL dengan penuh bermakna, melakar sejarah baharu dalam hubungan akademik, budaya dan masyarakat antara UUM, UGJ dan USM.