Education

Karnival Bakti Madani: Pelajar UUM fahami denyut nadi masyarakat setempat

Gambar Hairul Nizam Zahari

CHEMOR, 16 Ogos 2025: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang merasai sendiri kehidupan masyarakat luar bandar melalui program Karnival Bakti Madani yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Kampung Ulu Chepor, di sini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato’ Dr. Aminuddin Md. Hanafiah, dengan dihadiri Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Dr. Aminuddin berkata, karnival ini melibatkan penduduk kampung yang terpilih sebagai keluarga angkat kepada pelajar bagi memberi peluang mereka memahami denyut nadi masyarakat setempat.

“Saya harap pelajar dapat merasai sendiri kepayahan hidup dan suasana kehidupan penduduk kampung. Pengalaman ini penting untuk membentuk jati diri serta memahami masalah di peringkat akar umbi.

“Di samping itu, saya berharap keluarga angkat dapat menjadi hos terbaik kepada pelajar yang ditempatkan bersama mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian karnival berkenaan.

Beliau berkata, Kampung Ulu Chepor dipilih kerana statusnya sebagai kampung tradisi di bawah Parlimen Tambun dan sebahagiannya telah berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh, selain menepati ciri-ciri yang sesuai bagi penganjuran program ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, pengalaman yang diperoleh pelajar melalui program seperti ini tidak dapat diperoleh di bilik kuliah.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti. Ia bukan sahaja mendekatkan mereka dengan masyarakat, tetapi juga membuka ruang untuk memahami nilai kehidupan sebenar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar menjadikan karnival ini sebagai platform menimba ilmu dan pengalaman, serta menghargai peluang yang diberikan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan 25 keluarga angkat kepada pelajar UUM terlibat, bersama sumbangan RM500 kepada setiap keluarga.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jafri Saad; Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) KPT, Muhammad Nafi’ Rezani Tahrir; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Amir Ahmad Said; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain; serta pegawai kanan universiti dan agensi berkaitan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button