Keluarga angkat JAKSIN 2026 erat hubungan Pelajar Inasis TNB UUM bersama komuniti Pulau Tuba
Berita dan gambar Nurfarisa Liyana Mohd Fairol Zaibidi
LANGKAWI, 6 Ogos 2026: Program Jalinan Kasih Siswa Inasis TNB (JAKSIN) 2026 memberi peluang kepada pelajar Inasis TNB, Universiti Utara Malaysia (UUM) mendekati komuniti Pulau Tuba menerusi pelaksanaan program keluarga angkat yang menjadi antara pengisian utama sepanjang program.
Melalui program ini, pelajar tinggal bersama keluarga angkat bagi mengenali budaya, adat resam dan cara hidup masyarakat setempat.

Pengalaman tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelajar dan komuniti, malah memupuk nilai empati, semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial.
Sepanjang program berlangsung, pelajar meluangkan masa bersama keluarga angkat melalui aktiviti beramah mesra, kunjung-mengunjung dan menikmati hidangan bersama. Interaksi ini turut memberi pendedahan kepada mereka tentang nilai kejiranan, kerjasama dan sikap saling membantu yang menjadi amalan masyarakat Pulau Tuba.
Pengetua Inasis TNB, Mohd Fadzli Suhaimi berkata, Program JAKSIN dilaksanakan bagi merapatkan hubungan antara pelajar dan komuniti.
Menurutnya, pendidikan di universiti bukan hanya tertumpu kepada akademik, malah perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, kepimpinan serta semangat berbakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Wanita Cawangan Teluk Bujur merangkap Ketua Program Homestay Pulau Tuba Salina Tajudin berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima kehadiran pelajar Inasis TNB sebagai keluarga angkat.
“Mereka menunjukkan sikap hormat, mudah menyesuaikan diri dan kami berharap hubungan yang terjalin ini akan terus berkekalan,” katanya.
Program keluarga angkat ini membuktikan bahawa JAKSIN 2026 bukan sahaja membentuk sahsiah mahasiswa, malah mengukuhkan hubungan antara Inasis TNB UUM dengan komuniti Pulau Tuba.



