Education

Kem Minda Kreatif STEM beri pendedahan hands-on yang menarik minat pelajar terhadap Matematik dan Sains

Berita dan gambar Yuhaniz Ahmad

YAN, 9 Disember 2025: Program STEM Camp MOSTI 2025: Kem Minda Kreatif STEM telah dianjurkan dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sedaka yang melibatkan penyertaan seramai 124 pelajar.

Kem ini merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama PIBG SK Ulu Sedaka serta Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia, bagi memperkukuh minat dan kefahaman pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Program, Yuhaniz Ahmad berkata, pelbagai aktiviti interaktif dijalankan bagi menjadikan konsep matematik dan sains lebih mudah didekati oleh pelajar.

Menurutnya, melalui aktiviti Snakus Mathematicus, pelajar dapat berlatih sifir dalam suasana santai, sekali gus membantu mengurangkan rasa sukar terhadap nombor. Permainan Fractopoly pula memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dan mengaplikasikan operasi pecahan secara kreatif dalam konteks strategi.

Seterusnya, aktiviti Binaan TeguhLoad memperkenalkan asas kejuruteraan struktur secara hands-on, membolehkan pelajar meneroka konsep imbangan, kestabilan dan daya melalui binaan model menggunakan bahan mudah.

“Pada peringkat awal program, sebahagian pelajar mengakui kurang berminat terhadap matematik serta belum benar-benar menguasai sifir dan operasi asas. Namun, permainan dan tugasan interaktif yang bersifat menyeronokkan ternyata memberikan impak positif.

“Pelajar mula menunjukkan perubahan sikap, lebih yakin mencuba cabaran matematik, dan mula memandang matematik sebagai sesuatu yang menarik dan boleh dinikmati,” katanya.

Guru Besar SK Ulu Sedaka, Anita Badriah, turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan berharap agar kerjasama dengan SQS, UUM dapat diteruskan pada masa akan datang, terutama dalam penganjuran program-program yang dapat merangsang minat pelajar terhadap STEM.

Walaupun hujan turun sepanjang hari, program tetap berlangsung lancar dan menerima sambutan menggalakkan daripada warga sekolah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Kelab Pengguna Jerai, Abdul Paris Abdul Hamid.

Program ini turut dijayakan bersama Dr. Ayu Abdul Rahman, Norhafiza Mohd Noor, dan Zakiah Hashim.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button