Kerjasama strategik UUM-Petronas kukuhkan pengalaman pembelajaran berteraskan industri
Gambar CUIC
SINTOK, 16 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jalinan strategik akademia dan industri apabila menganjurkan sesi perbincangan secara dalam talian bersama syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), melalui platform Microsoft Teams.
Sesi yang dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, turut disertai oleh barisan pengurusan akademik UUM serta wakil dari PETRONAS, Aida Abdul Karim dan Munirah Arabee.
Dr. Chandrakantan berkata, perbincangan ini memfokuskan kepada pengukuhan hubungan strategik antara kedua-dua pihak melalui pelbagai bentuk penglibatan industri, termasuk penglibatan dalam struktur penasihat akademik dan pembangunan pelajar.
Menurutnya, UUM mengalu-alukan penyertaan PETRONAS dalam Panel Penasihat Industri (IAP) dan turut serta memberikan maklum balas terhadap penambahbaikan kurikulum khususnya di peringkat pascasiswazah seperti program Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Pengurusan Perniagaan.
Katanya, penglibatan PETRONAS sebagai rakan strategik dalam kedua-dua entiti ini diharapkan dapat menyumbang input industri yang relevan dan menyeluruh terhadap pembangunan akademik dan kompetensi pelajar.
“UUM juga menawarkan PETRONAS peluang bagi mencalonkan wakil profesional sebagai profesor adjung dan penceramah jemputan dalam bidang utama kini seperti Environmental, Social & Governance (ESG), Kecerdasan Buatan (AI), kewangan, dan sumber manusia. Selain daripada sumbangan dalam bentuk pengajaran dan perkongsian ilmu, wakil industri berpengalaman tinggi seperti dari PETRONAS dijangka dapat memberi inspirasi serta panduan praktikal kepada pelajar melalui pengalaman dunia sebenar.
“Selain itu antara agenda penting yang diketengahkan dalam pertemuan ini ialah penyertaan semula PETRONAS dalam Program Padawan – School of Hard Knocks. Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengikuti sesi pembangunan kerjaya secara langsung bersama syarikat industri selama satu setengah hingga dua semester. Program SoHK sebelum disertai oleh PETRONAS dan pihak UUM amat menggalakkan kesinambungan kerjasama ini. Ia dirangka dengan fleksibiliti jadual agar selari dengan semester akademik dan latihan industri pelajar, dan melibatkan sekurang-kurangnya enam sesi sepanjang tempoh program,” katanya.
Dalam pada itu, PETRONAS turut dijemput menyertai Karnival Kerjaya UUM 2025 yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Mei 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM. Pihak universiti mengalu-alukan penyertaan PETRONAS sama ada sebagai majikan yang membuka ruang kerjaya mahupun memberi pendedahan profesional kepada para pelajar berkaitan persediaan menghadapi alam pekerjaan, kemahiran insaniah serta penampilan diri.
Perbincangan turut mengenal pasti topik-topik strategik yang relevan untuk perkongsian masa depan seperti ESG dan AI. Kedua-dua topik ini bukan sahaja semakin penting dalam konteks kelestarian dan teknologi, tetapi turut menjadi keperluan dalam penarafan akreditasi institusi pengajian tinggi global.
UUM berharap PETRONAS dapat berkongsi amalan dan pengalaman sebenar mereka dalam bidang tersebut agar dapat memperkayakan pengajaran serta membentuk pemahaman pelajar yang lebih menyeluruh terhadap landskap industri masa kini.
“Saya yakin bahawa kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam usaha melahirkan graduan yang lebih bersedia, relevan dan kompeten untuk pasaran kerja.
“Pertemuan ini sebagai langkah permulaan yang sangat positif dalam menjayakan ekosistem pembelajaran yang menggabungkan kekuatan akademik dan keperluan industri sebenar,” katanya.
Perbincangan diakhiri dengan persetujuan untuk meneruskan komunikasi dan pemadanan program secara lebih terperinci dalam masa terdekat demi menjayakan pelbagai inisiatif strategik bersama.
Turut hadir dalam sesi tersebut Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat, Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki; Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Fikriyah Abdullah; Penyelaras Latihan Industri UUM COLGIS, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli; Penyelaras Latihan Industri UUM COB, Dr. Safwan Marwin Abdul Murad, dan Penyelaras Latihan Industri UUM CAS, Dr. Nuramalina Mohamad Na’in. – Siti Nazirah Jaya