Kunjungan balas SOC UUM ke MIMOS Akademi Kulim perkukuh jaringan strategik
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Husniza Husni
KULIM, 11 September 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan balas ke MIMOS Akademi di Kulim bagi memperkukuhkan hubungan strategik serta membuka laluan kerjasama mapan dan lestari dalam pelbagai agenda penting.
Delegasi lawatan diketuai oleh Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali, bersama barisan pengurusan kanan termasuk Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad; Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi, Prof. Madya Dr. Husniza Husni; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli, serta turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Industri & Komuniti, Prof. Dr. Huda Ibrahim; Prof. Madya Dr. Azizi Ab Aziz dan Dr. Baharudin Osman yang mewakili Jawatankuasa program Sarjana Sains (Sistem Pintar) serta Jaringan Industri & Komuniti.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk peluang jaringan lebih luas antara SOC dan industri melalui MIMOS, khususnya dalam pembangunan pelajar dan latihan industri, penawaran microcredentials dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Keselamatan Siber, serta cadangan penawaran program sarjana dengan pensijilan profesional daripada MIMOS yang bakal dijalankan di MIMOS Akademi, Kulim.
Dr. Osman berkata, kerjasama dengan MIMOS membuka peluang baharu dalam penyelidikan, latihan profesional dan pembangunan modal insan, sekali gus memperkukuh kedudukan UUM dalam bidang teknologi.
Sementara itu, MIMOS menerusi MIMOS Akademy, Parameswaran Ayahoo berkata, MIMOS amat berbesar hati untuk memperkukuh jaringan dengan SOC UUM.
Menurutnya, melalui kolaborasi ini, mereka bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan akademik dan profesional pelajar, malah turut menyokong aspirasi negara dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber.
Kunjungan ini menandakan langkah penting ke arah kerjasama dua hala yang lebih erat, sekali gus menyokong agenda nasional dalam memperkasa pendidikan tinggi dan industri teknologi di Malaysia.