Education

Kunjungan hormat ke Konsul Jeneral Republik Rakyat China

Gambar Muhammad Hazim Abu Hassan

PULAU PINANG, 10 Mac 2026: Delegasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang bagi memperkukuhkan kerjasama akademik serta mengeratkan hubungan dengan rakan strategik dari China.

Delegasi tersebut diketuai oleh Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin.

Dalam pertemuan tersebut, Dr. Hisham memperkenalkan diri sebagai Pengarah CIAC yang baharu serta merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan pihak Konsulat China dalam memperkukuhkan hubungan akademik dan budaya antara UUM dan China.

“China merupakan antara sumber utama pelajar antarabangsa di UUM. Justeru, hubungan yang erat dengan pihak Konsulat amat penting bagi memastikan kebajikan serta kejayaan akademik pelajar-pelajar tersebut di samping memperkukuh kerjasama institusi antara kedua-dua pihak,” katanya.

Pertemuan ini juga memberi ruang untuk berkongsi perkembangan terkini UUM serta inisiatif pengantarabangsaan universiti. Antara perkara yang dibincangkan ialah perancangan UUM untuk bekerjasama dengan sebuah universiti di China bagi menubuhkan Pusat Latihan Bahasa Inggeris.

Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan persediaan bahasa dan laluan akademik bagi pelajar China yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Malaysia, khususnya di UUM.

Dalam masa yang sama, Konsul Jeneral turut berkongsi beberapa maklumat berkaitan prosedur permit kerja dan urusan visa, khususnya yang melibatkan kerjasama pendidikan dan mobiliti antara kedua-dua negara. Perkongsian ini dijangka dapat membantu memudahkan pelaksanaan kerjasama pada masa hadapan.

Kedua-dua pihak menyatakan keyakinan bahawa pertemuan seperti ini akan terus memperkukuhkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang mobiliti pelajar, kerjasama akademik serta pembangunan program latihan bahasa.

Kunjungan tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan komitmen bersama untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara Universiti Utara Malaysia dan institusi pendidikan di China pada masa akan datang.

Turut serta dalam delegasi UUM ialah Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie; Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Dr. Selamah Maamor; Pengurus PDU, SLCP, Dr. Noor Asbahan Shahizan; Penolong Pendaftar di Jabatan Sumber Manusia (JSM), Kartini Tajul Urus; Penolong Pendaftar di JSM, Wahe Anuar Mansor dan Penolong Pendaftar, SLCP, Nur Shahira Mohd Ludin. – Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button