Lawatan BENCH2BIZ: Youngpreneurs in Action perkasa peranan Duta Keusahawanan PPKS UUM
Gambar PPKS
SINTOK, 18 November 2025: Program Lawatan Penanda Aras BENCH2BIZ: Youngpreneurs in Action anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya dilaksanakan selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November lalu dengan penyertaan oleh 28 Duta Keusahawanan PPKS.
Pengarah PPKS, Fadzil Mohd Husin berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan terbaik dalam bidang keusahawanan, meningkatkan pengetahuan dan kompetensi, serta memperkukuh jaringan strategik dengan pelbagai agensi dan penggerak industri.

Selain itu, menurutnya, program ini turut berfungsi sebagai platform untuk menyuntik inspirasi dan memperkasa peranan Duta Keusahawanan sebagai agen perubahan dalam membudayakan keusahawanan secara holistik dan berkesan di kampus UUM.
Lawatan pada hari pertama dimulakan dengan kunjungan ke Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), UPSI, di mana peserta diberi taklimat mengenai strategi dan pelaksanaan program pembangunan keusahawanan yang mampan dan berimpak tinggi.
Pada hari kedua, peserta dibawa melawat ke Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU), USIM untuk memahami pendekatan keusahawanan berteraskan nilai Islam dalam melahirkan graduan Muslimpreneur yang berdaya saing. Peserta telah dibawa melawat ke Genba Bakery yang terletak di Pusat Keusahawanan Pelajar (PKP), sebuah pusat perniagaan yang menyediakan lot-lot perniagaan yang diuruskan oleh pelajar sepenuhnya.

Lawatan BENCH2BIZ kemudiannya diteruskan ke premis perniagaan salah seorang alumni UUM, Pisango Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh Tunku Faris Tunku Khalil, graduan tahun 2002 yang kini berjaya mengembangkan perniagaan di dalam industri makanan berasaskan pisang melalui gabungan inovasi resipi nenek dengan menggunakan teknik moden untuk menghasilkan produk pisang sejuk beku yang unik dan menarik serta kekal relevan untuk menembusi pasaran global.
Lawatan ke premis Sekutt Cookies & Cakes yang diasaskan oleh Mohd Hanizam Mohamad@Ngah, graduan UUM tahun 1998 pada hari terakhir pula memberi nilai tambah besar kepada peserta kerana mereka berpeluang melihat secara langsung operasi sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 2016.
Sekutt Cookies & Cakes menjadi contoh nyata bagaimana graduan universiti mampu membina jenama kuki dan bakeri yang berjaya dengan memanfaatkan kemahiran teknikal, kreativiti, dan strategi pemasaran moden. – Suhaida Azmi



