Lawatan Penanda Aras UniKL MIAT ke STML Kukuhkan Kolaborasi Akademik
SINTOK, 25 Mei 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), baru-baru ini.
Lawatan penanda aras ini bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman, malah membuka ruang kerjasama lebih meluas antara dua institusi pengajian tinggi yang terkenal dalam bidang teknologi dan pengurusan.
Program lawatan yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang itu melibatkan sesi perbincangan akademik, perkongsian pengurusan institusi serta sesi interaktif bersama pelajar sarjana muda.
Inisiatif ini sejajar dengan usaha berterusan kedua-dua pihak untuk memperkukuh standard akademik, menjajarkan kurikulum dengan keperluan industri semasa serta meneroka potensi kolaborasi penyelidikan.
Acara bermula dengan sesi pengenalan dan ucapan alu-aluan dari wakil STML dan UniKL MIAT. Ia diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu mengenai proses pengurusan akademik di UUM yang memberi tumpuan kepada pendekatan holistik dalam penyampaian pendidikan tinggi serta amalan terbaik dalam pengurusan program pengajian.
Fokus utama perbincangan adalah berkisar kepada pengalaman institusi dalam mengendalikan program teknikal dan profesional serta meneroka minat bersama dalam bidang penyelidikan dan inovasi selain daripada berkongsi cabaran serta pencapaian dalam mentransformasikan pendidikan teknikal kepada pendekatan yang lebih kompetitif di peringkat global.
Sesi diteruskan dengan taklimat khas yang disampaikan oleh wakil UniKL MIAT berkaitan program pascasiswazah semasa dan akan datang yang ditawarkan oleh institut tersebut kepada pelajar sarjana muda yang berminat dengan pengurusan penerbangan. Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar UUM mengenai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi penerbangan dan teknikal lanjutan. Sesi berakhir dengan sesi soal jawab yang interaktif antara pelajar dan penceramah.
Menurut Dekan STML, Prof Madya Dr Mohd Najib Salleh, lawatan ini sebagai satu usaha strategik dalam memperkukuh jaringan akademik antara pusat pengajian dan institusi yang berteraskan teknologi dan pengurusan.
“Dengan latar belakang UniKL MIAT sebagai institusi unggul dalam bidang teknologi penerbangan dan STML sebagai pusat rujukan dalam pengurusan teknologi serta logistik, pertemuan ini menawarkan sinergi yang berpotensi tinggi untuk membangunkan program hibrid dan penyelidikan rentas disiplin.inisiatif sebegini sangat penting dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik.
“Kami dapat melihat bagaimana UniKL menyesuaikan program mereka dengan perkembangan industri penerbangan yang sangat pantas,” ujarnya.
Sementara itu, peserta, Zahra Hanania Abidin dari STML menyatakan minatnya dalam industri penerbangan dan tertarik dengan peluang pengajian lanjutan yang ditawarkan oleh UniKL MIAT.
“Ia membuka ruang untuk saya meneroka bidang pengurusan penerbangan dengan lebih mendalam selepas menamatkan pengajian di sini,” katanya.
Lawatan ini telah mencapai objektif utama iaitu mewujudkan pemahaman bersama tentang amalan terbaik dalam pengurusan akademik, menjalin hubungan strategik antara institusi serta memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus maju dalam bidang mereka minati.
Diharapkan agar pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada kolaborasi jangka panjang antara STML UUM dan UniKL MIAT, bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam penyelidikan bersama, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan yang lebih holistik.