Education

Mahasiswa SBM perkasa KKP di kilang pembuatan enjin BMW

Gambar Mahasiswa Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan)

KULIM, 4 Mac 2025: Mahasiswa Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah kendalian Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menganjurkan Seminar “Enhancing A Safe Work Culture Through Compliance With OSH Legislation” di Sime Darby Auto Engineering Sdn. Bhd. (SDAE), baru-baru ini.

Seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) dalam memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat dan efisien.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah, Idris Abdul Rahman dan dihadiri oleh pekerja dari pelbagai peringkat pengurusan serta profesional industri, termasuk pengurus dan jurutera.

Pengurus Besar Kilang SDAE, Muhammad Azman Azhari turut hadir bagi menyampaikan sokongan terhadap inisiatif ini.

Dalam ucapan aluannya, Muhammad Azman memperkenalkan SDAE sebagai sebuah kilang di bawah Sime Darby Motors yang mengkhusus dalam pemasangan enjin pembakaran dalaman serta pemasangan modular untuk kenderaan bermotor.

Beliau menekankan bahawa SDAE bukan sahaja memainkan peranan penting dalam industri automotif tetapi juga bertanggungjawab menjalankan ujian dan audit enjin bagi memastikan setiap komponen memenuhi standard kualiti yang ditetapkan oleh pelanggan seperti BMW.

“Menyedari kepentingan pematuhan terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), saya  menzahirkan penghargaan kepada UUM, khususnya SBM, atas kolaborasi yang dapat membantu memperkasakan budaya keselamatan dalam kalangan pekerja SDAE,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKKP Kedah, Idris Abdul Rahman memuji inisiatif UUM dalam membantu industri memahami dan mengamalkan pematuhan perundangan KKP.

“Pihak SDAE beruntung dapat bekerjasama dengan UUM, sebuah institusi yang telah diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai pemenang Anugerah KKP dan di mana Naib Canselornya telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah CEO KKP Sektor Awam,” katanya.

Beliau turut menyeru agar lebih banyak industri menjalin kerjasama dengan UUM bagi meningkatkan tahap pematuhan KKP masing-masing, sekali gus menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan pekerja secara keseluruhan.

“Seminar ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membudayakan amalan keselamatan di tempat kerja serta meningkatkan tahap pematuhan perundangan KKP dalam industri automotif dan sektor lain.” katanya.

Dua sesi ceramah utama dalam seminar ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah, yang berkongsi pandangan mengenai pematuhan perundangan serta peranan organisasi dalam memperkukuh budaya keselamatan di tempat kerja.

Timbalan Pengarah Khidmat Teknik JKKP Kedah, Ir. Ts. Mohd Safarin Sabli membentangkan ceramah bertajuk “Amendment to OSHA 1994: OSHA 1994 vs OSHA 2022, What’s New?”, yang memberi pencerahan mengenai pindaan terkini dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta implikasinya terhadap majikan dan pekerja. Seterusnya, Pemeriksa Kilang dan Jentera JKKP Kedah, Mohamad Farizal Md Judin menyampaikan ceramah bertajuk “Empowering Safety and Health Committee at Workplace”, yang menekankan kepentingan memperkasakan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan tahap keselamatan dan pematuhan perundangan dalam organisasi.

Selain sesi ceramah, pihak SBM, UUM dan JKKP Kedah turut dijemput untuk melawat kawasan pembuatan kilang bagi menyaksikan sendiri proses pemasangan serta ujian dan pentauliahan (testing and commissioning) enjin BMW. – Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button