Majlis Apresiasi Staf 2025 iktiraf sumbangan serta dedikasi warga staf SQS
Gambar Zamalik Hassan
ALOR SETAR, 1 Januari 2026: Di penghujung tahun 2025, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Staf 2025 di Raia Hotel bagi mengiktiraf sumbangan serta dedikasi warga staf yang telah memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan dan kecemerlangan pusat pengajian.
Majlis tersebut memberi penghargaan kepada staf yang cemerlang bukan sahaja menunjukkan prestasi kerja yang tinggi, malah mengamalkan nilai integriti, profesionalisme dan kesediaan berkhidmat melangkaui tugasan hakiki.

Mantan Dekan, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim berkata, penghargaan yang diberikan bukan sekadar simbol atau anugerah semata-mata, sebaliknya merupakan tanda penghormatan dan setulus penghargaan atas komitmen, dedikasi serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh staf sepanjang tempoh perkhidmatan semua.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan Sambutan Jubli Perak sempena genap 25 tahun penubuhan pusat pengajian tersebut dalam melahirkan graduan berkualiti serta menyumbang kepada pembangunan ilmu dan khidmat kepada masyarakat.

Seramai 23 staf SQS yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun turut diraikan melalui sesi pemotongan kek Jubli Perak dan penyampaian sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas kesetiaan serta sumbangan mereka.
Turut berlangsung ialah Pelancaran Tabung Wakaf Naik Taraf Student Lounge SQS yang bertujuan meningkatkan kemudahan pelajar.
Inisiatif wakaf ini dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam kebajikan pelajar serta pembangunan modal insan masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video kenangan sepanjang 25 tahun penubuhan SQS serta persembahan nyanyian oleh pelajar-pelajar SQS yang menceriakan suasana.
Di samping itu juga diadakan sesi pertukaran hadiah di kalangan staf untuk menambahkan kemesraan serta semangat kebersamaan warga pusat pengajian. – Haslida Ismail



