Match Maths uji operasi asas matematik
Gambar Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad
BUKIT KAYU HITAM, 27 Mac 2025: Lima saintis daripada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Sains Teknologi dan Inovasi (STI) 100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari, Kitaran 1.5 bagi Tahun 2025.
Kumpulan saintis ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad bersama ahli kumpulan iaitu Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Suhaida Abdullah, Dr. Nor Hisham Haron dan Dr. Mohd Azri Pawan Teh.
Program STI merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menarik dan memupuk minat murid-murid kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga (SKFBT) telah terpilih untuk menjayakan Program STI Kitaran 1.5 bagi tahun ini.
Program ini dibahagikan kepada tiga sesi pertemuan dan melibatkan pelajar Tahun 6 dari SKFBT. Pertemuan pertama telah diadakan pada 6 Mac lalu, manakala pertemuan kali kedua ini berlangsung pada 25 Mac dengan melakukan aktiviti Match Maths.
Dr. Nor Aishah berkata, Match Maths merupakan permainan berasaskan Matematik yang memerlukan murid-murid menguasai operasi asas seperti tambah, tolak, darab, dan bahagi.
Menurutnya, permainan ini direka untuk membantu murid-murid ini meningkatkan kemahiran matematik mereka melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan. Para saintis ini telah mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan permainan ini untuk memastikan setiap aspek permainan dapat memberikan manfaat pendidikan yang maksimum.
Melalui aktiviti Match Maths, murid-murid merasa seronok kerana permainan ini menguji minda mereka dan memupuk semangat kerjasama kerana aktiviti ini memberikan peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah matematik, yang menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan.
“Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan yang perlu diatasi, iaitu murid-murid masih kurang mahir dalam operasi darab dan bahagi. Kekurangan ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk memberikan lebih banyak latihan dan bimbingan dalam operasi asas matematik tersebut.
“Dengan usaha yang berterusan dan pendekatan yang kreatif, diharapkan murid-murid dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam darab dan bahagi, serta mencapai tahap penguasaan yang lebih baik dalam matematik,” katanya.
Aktiviti seperti Match Maths ini diharapkan dapat terus dijalankan untuk membantu murid-murid mengatasi kelemahan mereka, meningkatkan prestasi akademik secara keseluruhan serta memupuk minat mereka dalam STEM. – Dr. Mohd Azri Pawan Teh