MIB 4.0 perkukuh literasi matematik dan AI pelajar selari agenda STEM negara dan matlamat SDG
Berita dan gambar oleh Prof Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim
KUALA NERANG, 21 Januari 2026: Seramai 52 orang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Agama (SMA) Daril Iktisam, Kuala Nerang, Kedah telah menyertai Program Sains, Teknologi dan Inovasi 100 Saintis 100 Sekolah (STI 100³) 2.0 tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi penganjuran program Maths Innovate BrightLab 4.0 (MIB 4.0).
Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (PPSK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama pihak sekolah dan penglibatan tiga orang guru pengiring, sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 5: Kesaksamaan Gender.

Tiga orang saintis yang terlibat secara langsung dalam program ini ialah Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim dan Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid daripada Institute of Strategic Industrial Decision Modelling (ISIDM), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, UUM, serta Prof. Dr. Muhammad Zaini Ahmad dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Penganjuran program ini selari dengan aspirasi nasional untuk mencapai nisbah 60:40 aliran Sains dan Sastera seperti yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di samping keperluan negara melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi, matematik gunaan, sains data dan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 serta agenda pembangunan inklusif negara.

Sesi pertama program menampilkan Invited Talk oleh Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim bertajuk “Evolution of Mathematics: From IR 1.0 to IR 4.0” yang berlangsung dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.50 tengah hari.
Melalui ceramah ini, pelajar didedahkan kepada peranan matematik sebagai teras kepada pembangunan teknologi sejak Revolusi Industri 1.0 sehingga era IR 4.0, termasuk aplikasi matematik dalam analitik data, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan. Pendedahan ini secara langsung menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dengan memperkasa literasi matematik, pemikiran kritis dan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar sekolah.
Selain itu, program ini menekankan akses pembelajaran STEM yang inklusif dan saksama tanpa mengira jantina, sejajar dengan SDG 5 (Kesaksamaan Gender) dengan menggalakkan penyertaan aktif pelajar lelaki dan perempuan dalam bidang matematik, teknologi dan AI.

Pelajar turut diperkenalkan kepada penggunaan Generative Artificial Intelligence (Gen AI) dalam pengajaran dan pembelajaran (T&L) seperti ChatGPT, Gemini dan Copilot, selari dengan Dasar Pendidikan Digital KPM.
Penekanan turut diberikan terhadap etika, integriti akademik dan tanggungjawab penggunaan AI, bagi memastikan teknologi digunakan secara berhemah dan menyokong pembelajaran bermakna.
Sesi ini menyaksikan penglibatan aktif pelajar melalui interaksi dua hala dan perbincangan kritis, mencerminkan kesediaan generasi muda untuk menerima teknologi digital secara beretika, inklusif dan bertanggungjawab.
Sesi kedua diteruskan dengan Invited Talk oleh Prof. Dr. Muhammad Zaini Ahmad dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) bertajuk “Catatan Perjalanan Seorang Akademia” yang berlangsung dari jam 12.55 tengah hari hingga 1.45 petang.

Perkongsian ini mengetengahkan perjalanan inspirasi seorang anak kampung sehingga bergelar Profesor Matematik, sekali gus menyokong aspirasi SDG 4 dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang pembelajaran sepanjang hayat.
Kisah ini turut menekankan kepentingan kesaksamaan peluang pendidikan untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau jantina, selari dengan prinsip SDG 5.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab (Q&A) yang menyaksikan pelajar menunjukkan minat tinggi terhadap laluan pendidikan STEM, pengajian tinggi serta peranan ilmuwan Muslim dalam mendepani cabaran teknologi dan pembangunan masyarakat.
Menariknya, ramai pelajar menyuarakan aspirasi untuk menjadi cendekiawan Islam yang menguasai ilmu agama, matematik dan kecerdasan buatan, sejajar dengan hasrat negara melahirkan modal insan seimbang dari segi rohani, intelektual dan teknologi, serta komited terhadap pembangunan masyarakat yang adil dan inklusif.
Walaupun program ini berbentuk perkongsian tanpa aktiviti STEM secara praktikal, pendedahan awal yang diberikan dilihat sebagai langkah signifikan dalam menyokong agenda STEM nasional, memperkukuh pelaksanaan SDG 4 dan SDG 5, serta membina asas kukuh ke arah pembangunan modal insan berpengetahuan, berdaya saing dan inklusif.
Pihak penganjur berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas ke lebih banyak sekolah sebagai usaha berterusan dalam membangunkan ekosistem STEM negara yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi.



