Maths Innovate BrightLab 4.0 terus perkukuh literasi sains data pelajar melalui Data Science Explorer Lab
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim
PADANG TERAP, 15 Februari 2026: Program Maths Innovate BrightLab 4.0 (MIB 4.0) di bawah inisiatif Program Sains, Teknologi dan Inovasi 100 Saintis 100 Sekolah (STI 100³) 2.0 tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diteruskan dengan pelaksanaan sesi ketiga berasaskan aktiviti STEM lanjutan, bertempat di Sekolah Menengah Agama (SMA) Daril Iktisam, Kuala Nerang.
Sesi bertajuk “Data Science Explorer Lab” ini merupakan kesinambungan langsung kepada aktiviti STEM MIB 4.0 yang dilaksanakan pada 28 Januari lalu yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama pihak sekolah.

Tiga saintis yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program ini ialah Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim selaku Ketua Perunding, bersama Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid daripada Institute of Strategic Industrial Decision Modelling (ISIDM), SQS, UUM serta Prof. Dr. Muhammad Zaini Ahmad dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai ahli pasukan.
Ketiga-tiga saintis ini memainkan peranan utama dalam mereka bentuk, menyelaras dan membimbing pelaksanaan Data Science Explorer Lab yang merangkumi aktiviti visualisasi data, analisis statistik dan interpretasi dapatan berasaskan senario dunia sebenar bagi memperkukuh kefahaman pelajar terhadap sains data sebagai teras kepada kecerdasan buatan dan teknologi analitik moden.
Dr. Samsul Ariffin berkata, bagi menyokong objektif program, dua modul STEM telah dibangunkan secara khusus untuk membimbing pelajar dalam aktiviti Data Science Explorer Lab ini.
Menurutnya, program ini melibatkan lima kumpulan pelajar Tingkatan Tiga yang sama membolehkan pembangunan kemahiran STEM dilaksanakan secara berperingkat, berterusan dan berimpak tinggi.

Aplikasi Sains Data Berasaskan Senario Dunia Sebenar
Dalam sesi ini, pelajar diperkenalkan kepada senario dunia sebenar berkaitan pencemaran udara bandar, iaitu peningkatan Indeks Pencemaran Udara (API) di kawasan berkepadatan trafik tinggi di sebuah bandar rekaan, City X.
Pelajar dikehendaki menganalisis set data yang disediakan dan menghasilkan cadangan berasaskan bukti (evidence-based recommendations), selari dengan amalan sebenar dalam bidang sains data, kecerdasan buatan (AI), analitik bandar pintar dan kelestarian alam sekitar.
Tugasan pertama melibatkan pembinaan graf taburan (scatter plot) dengan Paksi-x: Bilangan kenderaan serta Paksi-y: Indeks Pencemaran Udara (API) dan pelabelan paksi dan penambahan garis trend bagi mengenal pasti corak hubungan data.
Kesemua kumpulan berjaya menyiapkan tugasan ini dengan tahap kefahaman yang tinggi, sekali gus menunjukkan penguasaan awal kemahiran visualisasi data, yang merupakan teras kepada bidang sains data dan AI. Seterusnya, pelajar diminta untuk menghuraikan corak taburan data, menentukan jenis hubungan antara pemboleh ubah (linear dan positif) dan menjelaskan implikasi hubungan tersebut terhadap kualiti udara dan trafik di City X.

Bagi mengukuhkan analisis secara kuantitatif, pelajar turut dikehendaki mengira pekali Korelasi Pearson secara manual. Walaupun tugasan ini mencabar kerana melibatkan pengiraan yang panjang dan nilai numerik yang besar, kesemua kumpulan berjaya menyelesaikannya dengan komitmen, disiplin dan kerjasama kumpulan yang tinggi.
Hasil pengiraan menunjukkan nilai Korelasi Pearson sebanyak 0.991, menandakan hubungan positif yang sangat kuat antara bilangan kenderaan dan tahap pencemaran udara.
Pencapaian ini membuktikan keupayaan pelajar sekolah menengah untuk memahami dan mengaplikasikan konsep statistik, analitik dan pemikiran sains data apabila dibimbing melalui pendekatan STEM yang sistematik dan kontekstual.
Pembentangan Kumpulan dan Keyakinan Pelajar
Sesi diteruskan dengan pembentangan dapatan oleh setiap kumpulan, dengan tempoh tiga minit diperuntukkan bagi setiap pembentangan.
Kesemua kumpulan menunjukkan tahap keyakinan, komunikasi dan penguasaan kandungan yang memberangsangkan, mencerminkan perkembangan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama dan penyampaian berasaskan data. Suasana pembelajaran yang aktif dan interaktif menyebabkan tempoh program yang panjang dirasakan berlalu dengan pantas.

Sebelum program berakhir, para pelajar telah mengisi borang maklum balas rasmi pihak MOSTI dan borang pra dan pasca tinjauan (pre- dan post-survey) MIB 4.0 dan mendapati pelajar menilai Maths Innovate BrightLab 4.0 sebagai program yang sangat berkesan dan bermakna, khususnya dalam meningkatkan minat terhadap STEM, kefahaman konsep matematik, statistik dan sains data serta keyakinan untuk meneroka bidang berkaitan AI, teknologi dan analitik data
Kenyataan impak SDG 4 & SDG 5
Program ini menyokong pencapaian SDG 4 dengan menyediakan pendidikan STEM yang berkualiti, relevan dan berasaskan kemahiran abad ke-21. Melalui aktiviti sains data, visualisasi dan analisis statistik, pelajar dapat menguasai kemahiran matematik dan literasi data yang kritikal untuk sains data dan kecerdasan buatan, mengembangkan pemikiran kritis, analitik dan penyelesaian masalah serta mendapat pendedahan awal kepada aplikasi data dunia sebenar, selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Program ini turut menyokong SDG 5 dengan memastikan penglibatan pelajar lelaki dan perempuan secara inklusif dan seimbang dalam semua aktiviti STEM. Penyertaan aktif pelajar perempuan dalam analisis data, pengiraan statistik dan pembentangan menunjukkan peluang pembelajaran STEM yang adil tanpa jurang jantina, peningkatan keyakinan dan kebolehan kepimpinan dalam kalangan pelajar perempuan dan sokongan kepada usaha melahirkan lebih ramai wanita berkemahiran dalam bidang STEM dan teknologi masa hadapan.

Guru Kanan Sains dan Matematik, Hasnooraini Abu Seman telah menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada pasukan perunding MIB 4.0 UUM dan UniMAP atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang amat bermakna dalam menjayakan Program MIB 4.0 100³ bersama Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam.
Menurutnya, pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi pendedahan yang bernilai kepada warga sekolah, malah telah membuka ruang perkongsian ilmu, idea dan pengalaman yang sangat bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat terutama murid-murid Tingkatan 3.
“Usaha murni ini jelas mencerminkan semangat kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam memperkasa pendidikan serta inovasi. Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program berimpak tinggi,” katanya.
Sementara Naib Yang Di Pertua (NYDP), PIBG SMA Daril Iktisam, Prof. Dr. Muhammad Zaini Ahmad mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan perunding MIB 4.0 kerana telah melaksanakan Program Maths Innovate BrightLab 4.0 (MIB 4.0) ini dengan jayanya.

“Adalah diharapkan agar akan lahir ramai cerdik pandai dalam STEM dan ICT dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah agama,” katanya.
Pelaksanaan Data Science Explorer Lab sebagai sesi ketiga Maths Innovate BrightLab 4.0 (MIB 4.0) membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran STEM berasaskan data, analitik dan senario dunia sebenar. Program ini bukan sahaja memperkukuh asas matematik dan statistik pelajar, malah membina kesiapsiagaan mereka untuk menghadapi cabaran dalam bidang sains data, kecerdasan buatan dan teknologi digital.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen MOSTI dan UUM dalam menyokong agenda nasional pembangunan modal insan STEM yang berdaya saing, inklusif dan mampan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Dasar Pendidikan Digital KPM.



