Education

MBSA terajui Pelaporan Bersepadu Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia bersama UUM

Berita dan gambar Dr. Ooi Sue Chern

SHAH ALAM, 21 Oktober 2025: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatat sejarah sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang menerbitkan Laporan Bersepadu berasaskan International <IR> Framework yang dibangunkan oleh International Integrated Reporting Council (IIRC).

Laporan Bersepadu MBSA bagi tahun 2024 ini telah disediakan dengan kerjasama sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dilantik sebagai perunding projek.

Penyerahan rasmi laporan tersebut telah dilakukan oleh Ketua Pasukan Perunding Projek, Prof. Dr. Siti Zabedah Saidin dari TISSA-UUM, kepada Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim,  dalam Majlis Apresiasi Pembayar Cukai Taksiran 2025 yang berlangsung pada 16 Oktober lalu di Dewan Bankuet MBSA.

Dalam ucapan Datuk Bandar Shah Alam menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama strategik antara MBSA dan UUM yang telah memperkukuh tahap akauntabiliti serta piawaian pelaporan sektor awam.

“Proses penyediaan laporan ini turut menyatukan pelbagai jabatan dalam MBSA, menggalakkan kerjasama dalaman dan memupuk pemikiran bersepadu dalam usaha membangunkan Shah Alam Lestari dan Maju Bersama,” katanya.

Sementara itu, Dr. Siti Zabedah melahirkan rasa berbesar hati dapat menyumbang kepada pencapaian bersejarah ini bersama MBSA.

Menurutnya, penyediaan Laporan Bersepadu ini menggabungkan kepakaran pihaknya dengan komitmen dan visi staf MBSA.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa kolaborasi antara ahli akademik dan kerajaan tempatan mampu memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta pemikiran bersepadu dalam tadbir urus awam,” katanya.

Penerbitan Laporan Bersepadu MBSA ini bukan sahaja menjadi penanda aras baharu dalam pelaporan sektor awam, malah mencerminkan komitmen MBSA dalam mencipta nilai jangka panjang untuk komuniti serta memperkukuh tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Turut hadir sama, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir dan Ahli Majlis MBSA, Mohd Firdaus Mokhtar dan Ahli-Ahli Majlis MBSA serta Pejabat Wilayah Selangor Bank Rakyat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button