Education

MEMPERLUAS PERSPEKTIF PENDIDIKAN GURU: SOE UUM TEROKA AMALAN KURIKULUM DAN LATIHAN KEGURUAN DI UKM

Berita oleh : Nur Azlinda Kasma Azizan Kamal Abdul Nasir

Gambar oleh: Muhammad Asyraf Abdul Rahman

BANGI, 28 Oktober 2026 – Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha memperkukuh pembangunan program akademik menerusi lawatan penandaarasan ke Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Delegasi SOE yang terdiri daripada 13 orang wakil telah disambut oleh Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Dr. Kamisah Osman, bersama barisan pensyarah fakulti. Kunjungan ini menjadi platform perkongsian ilmu dan pertukaran pengalaman antara kedua-dua institusi, khususnya berkaitan pembangunan kurikulum, struktur program akademik dan pelaksanaan latihan profesional keguruan.

Antara perkara utama yang dikongsikan oleh pihak UKM ialah pelaksanaan kursus Teras Fakulti dan Teras Program yang menjadi komponen penting dalam pembentukan asas pengetahuan serta kompetensi pelajar pendidikan.

Perkongsian turut merangkumi struktur program pengajian dan pengkhususan bidang, termasuk program Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (Teaching English as a Second Language, TESL).

Dalam aspek latihan profesional keguruan, perbincangan memberikan perhatian kepada pelaksanaan praktikum yang turut merangkumi pengalaman latihan di luar persekitaran sekolah. Pelaksanaan latihan industri pada semester pendek ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha UKM memberikan pengalaman pembelajaran profesional kepada pelajar.

Pendekatan ini memperlihatkan usaha memperluas pengalaman latihan keguruan agar pelajar bukan sahaja memperoleh pendedahan dalam persekitaran sekolah, malah berpeluang memahami keperluan dan dinamika bidang pekerjaan di luar sektor pendidikan formal.

Perkongsian tersebut memberikan perspektif kepada delegasi SOE tentang kepentingan menyediakan struktur program yang seimbang antara penguasaan kandungan bidang, kompetensi pedagogi dan pengalaman profesional.

Pendedahan ini turut memperlihatkan kepelbagaian pendekatan yang boleh diteroka dalam merancang pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh untuk bakal pendidik.

Secara keseluruhannya, lawatan penandaarasan ini menjadi platform bermakna dalam memperluas jaringan akademik antara UUM dengan UKM.

Perkongsian pengalaman dan kepakaran yang diperoleh memberikan nilai tambah kepada SOE dalam memahami pendekatan pembangunan program pendidikan serta memperluas perspektif berkaitan pelaksanaan latihan profesional keguruan.

Melalui inisiatif penandaarasan dan perkongsian ilmu secara berterusan, SOE komited untuk memperkukuh kualiti program pendidikan, memperluas jaringan kerjasama akademik serta melahirkan graduan yang kompeten, fleksibel dan bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan serta tuntutan profesion keguruan masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button