Education

Meraikan kejayaan graduan cilik Tadika PPKK Tunku Puteri Intan Safinaz

SINTOK, 14 Januari 2025:  Anak-anak adalah cerminan masa depan negara dan sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka mendapat asas pendidikan yang kukuh demi membina masa depan yang lebih cerah.

Seramai 27 graduan cilik telah diraikan pada Majlis Konvokesyen Tadika PPKK Tunku Puteri Intan Safinaz kali ke-32 dan Anugerah Cemerlang bagi sesi 2024/2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di sini, pagi tadi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah institusi yang berwawasan, Tadika PPKK Tunku Puteri Intan Safinaz telah berjaya membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas yang penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, dan berdaya saing.

“Di peringkat prasekolah inilah mereka mendapat asas pendidikan yang sangat penting sebagai persediaan untuk memasuki alam persekolahan. Di sinilah mereka dibekalkan dengan ilmu mengenai adab, etika, tanggungjawab, dan amanah untuk belajar dengan penuh dedikasi.

“Ilmu yang mereka peroleh di tadika ini adalah langkah pertama dalam usaha mereka untuk menjadi generasi yang cemerlang, meraih kejayaan demi kejayaan dalam hidup mereka,” katanya penuh bersemangat.

Menurutnya, majlis ini bukan sekadar untuk meraikan pencapaian mereka, tetapi juga sebagai satu pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha gigih yang telah mereka tunjukkan selama ini.

“Kita memberi penghargaan kepada anak-anak ini serta mendorong mereka untuk terus kekal cemerlang dalam perjalanan mereka.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha para guru yang dengan sabar dan ikhlas mendidik, serta sokongan padu yang diberikan oleh ibu bapa. Kerjasama yang diberikan amat bermakna dalam memastikan perjalanan pendidikan anak-anak kita terus gemilang.

“Tahniah kepada semua graduan. Hari ini adalah penghormatan kepada usaha dan kegigihan anda. Jadikan kejayaan ini sebagai titik permulaan yang membawa anda menuju kejayaan yang lebih besar di masa hadapan,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Tadika PPKK Tunku Puteri Intan Safinaz Ke-32 dan Anugerah Cemerlang sesi 2024/2025.

Sementara itu, Pengurus Tadika PPKK Tunku Puteri Intan Safinaz, Norhayati Hassan menyifatkan majlis ini sebagai detik bersejarah yang memberi pengiktirafan kepada setiap usaha dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh anak-anak sepanjang sesi persekolahan.

“Kepada semua anak-anak yang diraikan, tahniah diucapkan! Majlis ini adalah bukti bahawa usaha dan kesungguhan anda semua telah membuahkan hasil yang sangat membanggakan.

“Jadikan pencapaian ini sebagai pembakar semangat untuk terus cemerlang di masa hadapan. Ingatlah, kejayaan adalah perjalanan yang panjang, bukan hanya sebuah destinasi.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru atas dedikasi dan kesungguhan mereka dalam mendidik anak-anak kita. Anda semua adalah insan luar biasa yang telah memberikan sinar ilmu kepada generasi masa depan,” katanya dengan penuh rasa terharu.

Beliau berharap agar majlis ini bukan sahaja menjadi satu perayaan kejayaan, tetapi juga menjadi kenangan manis yang akan terus terpahat dalam ingatan setiap anak-anak dan keluarga yang hadir.

“Semoga Tadika PPKK Tunku Puteri Intan Safinaz akan terus cemerlang dan menjadi institusi yang melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak mulia dan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button