Education

Mesyuarat MPUI tekankan transformasi sinergi ke arah ekosistem pendidikan berdaya saing

Gambar CUIC

BANGSAR, 19 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Mesyuarat Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) yang berlangsung secara perbincangan meja bulat dengan tema “Mentransformasi Sinergi: Memacu Kerjasama Universiti-Industri dalam Membentuk Ekosistem Pendidikan Berdaya Saing”.

Mesyuarat ini menghimpunkan tokoh-tokoh industri dan ahli akademik berpengaruh bagi membincangkan strategi memperkukuh kolaborasi antara universiti dan sektor industri dalam memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, inklusif, dan kompetitif.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, yang mewakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dalam ucapan alu-aluan menegaskan bahawa sinergi akademia–industri amat penting untuk membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang responsif terhadap kehendak pasaran.

Beliau turut menekankan kepentingan merangka pendekatan baharu dalam pembangunan kurikulum agar sejajar dengan trend industri semasa dan keperluan masa depan.

Antara ahli MPUI yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio, seorang tokoh korporat terkenal dengan pendekatan inovatif dalam pembangunan sumber manusia dan keusahawanan.

Kehadiran beliau bersama ahli-ahli lain telah memperkayakan perbincangan dengan perkongsian pandangan dan pengalaman berharga.

Turut hadir, ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Azizuddin Mohd Sani, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, yang masing-masing turut menyumbang idea dalam memperkukuh hala tuju strategik universiti-industri.

Sesi meja bulat ini membuka ruang dialog terbuka mengenai cabaran, peluang, dan bentuk kerjasama yang boleh diperkukuh dalam bidang pendidikan, penyelidikan, latihan industri, serta pemindahan ilmu dan teknologi.

Penganjuran MPUI ini sekali lagi menegaskan komitmen tinggi UUM dalam memperkukuh peranan universiti sebagai rakan strategik industri, seterusnya memacu ekosistem pendidikan tinggi yang berdaya saing, inklusif, dan mampan. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button