Education

MPP UUM Sesi 2025/2026 lafaz ikrar, teruskan legasi kepimpinan pelajar

Gambar Mohd Fuad Hamid dan Arissya Elmyra Haslan

LANGKAWI, 24 Disember 2025: Majlis Watikah Pelantikan dan Penghargaan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) telah berlangsung dengan penuh istiadat di De Baron Resort yang menandakan peralihan kepimpinan pelajar daripada barisan MPP Sesi 2024/2025 kepada MPP Sesi 2025/2026.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, Akmal Zharif Ahmad Kamal; Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; serta Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang @ Semail.

Kehadiran kepimpinan tertinggi peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti ini jelas mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan dan kepimpinan mahasiswa.

Sebelum majlis watikah berlangsung, barisan kepimpinan baharu MPP telah menyertai siri bengkel intensif yang diadakan pada 20 hingga 21 Disember yang merangkumi Taklimat Bengkel MPP, sesi khas bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) di bawah kelolaan Student Excellence & Leadership Centre (SELECT), serta Bengkel Pemantapan MPP. Pelaksanaannya melibatkan kerjasama rapat barisan MPP Sesi 2024/2025 bagi memastikan proses pemindahan ilmu dan pengalaman kepimpinan dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.

Sepanjang siri bengkel tersebut, mantan MPP telah berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan organisasi, urusan pentadbiran serta amanah kepimpinan. Selain itu, Sesi Pembentangan Portfolio dan Hala Tuju MPP turut diadakan sebagai platform merangka perancangan strategik kepimpinan yang memberi fokus kepada kebajikan dan kepentingan mahasiswa bagi sesi akan datang.

Pada hari majlis, acara dimulakan dengan Majlis Penghargaan khusus bagi meraikan jasa dan pengorbanan barisan mantan MPP Sesi 2024/2025. Sesi ini diadakan sebagai tanda penghormatan atas komitmen tinggi yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara mengangkat ikrar taat setia oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2025/2026 yang diketuai oleh Yang Dipertua MPP, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal yang berlangsung dalam suasana penuh tertib dan berwibawa, melambangkan kesediaan barisan kepimpinan baharu untuk memikul amanah yang diberikan.

Seterusnya, penyampaian watikah pelantikan telah disempurnakan sebagai pengesahan rasmi pelantikan barisan MPP, sekali gus menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab kepimpinan mahasiswa bagi Sesi 2025/2026.

Kemuncak majlis menyaksikan simbolik penyerahan tugas daripada mantan Yang Dipertua MPP Sesi 2024/2025, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain kepada Yang Dipertua MPP Sesi 2025/2026, Muhammad Syahmi Iman yang melambangkan kesinambungan amanah serta kesinambungan kepimpinan pelajar di UUM.

Dalam ucapan sulungnya, Muhammad Syahmi Iman menegaskan komitmennya untuk membina kesepaduan dalam kalangan barisan kepimpinan baharu serta menggerakkan MPP sebagai satu pasukan yang bersatu dan progresif.

Syahmi turut menyuarakan harapan agar MPP UUM Sesi 2025/2026 menjadi wadah yang berkesan dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa serta memperkukuh autonomi pelajar.

Secara keseluruhannya, Majlis Watikah Pelantikan dan Penghargaan MPP UUM Sesi 2025/2026 bukan sahaja memformalkan pelantikan kepimpinan baharu, malah berperanan penting dalam mempererat hubungan antara mantan dan barisan kepimpinan semasa demi menjamin kesinambungan kecemerlangan kepimpinan pelajar Universiti Utara Malaysia. – Nurul Ieman Azizan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button