Education

Pasukan Campus Brew kuasai seni barista profesional

Gambar CEDI

SIK, 1 November 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia telah membawa pasukan Inkubator Perniagaan Campus Brew menyertai program “Campus Brew Barista Training: Master Your Coffee Craft 2025” bertempat di Kolej Komuniti Sik.

Program latihan sehari ini bertujuan memberi pendedahan asas seni penyediaan kopi profesional kepada lima pelajar di bawah program inkubator CEDI. Peserta didedahkan kepada teknik penyediaan espresso, latte dan cappuccino, serta kemahiran mengendalikan mesin kopi moden.

Timbalan Pengarah (Bahagian Latihan dan Inkubator) CEDI, Dr. Saiful Azizi Ismail berkata, penyertaan ini merupakan salah satu inisiatif CEDI untuk memperkukuh latihan keusahawanan pelajar melalui pendekatan praktikal dan berasaskan industri.

“Kursus ini bukan sahaja melatih pelajar menjadi barista yang mahir, tetapi juga membentuk pemikiran usahawan yang kreatif, berdisiplin dan mampu membina nilai tambah kepada perniagaan mereka,” katanya.

Antara pengisian utama program termasuk latihan hands-on pembuatan kopi, pengenalan kepada latte art, serta sesi perkongsian amalan terbaik barista profesional, selain peserta turut berpeluang mengaplikasikan kemahiran ini dalam operasi sebenar kafe inkubator Campus Brew di kampus UUM.

Pelaksanaan program ini dijangka memberi impak positif kepada peningkatan kebolehpasaran graduan, membina keyakinan diri, serta mendorong inovasi dalam penghasilan menu kreatif berasaskan kopi.

Ia turut membuka peluang kepada pelajar untuk menjana pendapatan melalui bidang barista dan kafe moden, selaras dengan aspirasi CEDI memperkasa keusahawanan pelajar berteraskan kemahiran sebenar industri. – Akmal Ahlami Md Rozai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button