PDU, SLCP bincang tawaran EPC dan ujian HSK serta jalan item ujian EPT
KUALA LUMPUR: Unit Pembangunan Profesional (PDU), Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah mengadakan satu perbincangan berkenaan penawaran English Preparatory Course (EPC) di Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), baru-baru ini.
Perbincangan tersebut telah dihadiri oleh Ketua Kampus UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan, Dr. Chan Cheong Chong dan Dr. Wan Fatimah Solihah Wan Abdul Halim.
Pengurus PDU, Dr. Noor Asbahan Shahizan berkata, perbincangan ini amat penting bagi membincangkan langkah seterusnya dalam menawarkan English Preparatory Course (EPC) di UUMKL serta melihat sendiri dewan-dewan yang sesuai digunakan bagi mengadakan peperiksaan MUET on Demand (MOD) di UUMKL.
Kemudian, sesi penilaian item ujian English Placement Test (EPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung di mana seramai lima pakar penilai telah dipilih bagi membuat penilaian ke atas item ujian English Placement Test yang telah dibangunkan oleh penggubal soalan yang terdiri daripada staf akademik SLCP itu sendiri.
EPT yang merupakan salah satu komponen ujian di dalam English Preparatory Course (EPC) adalah satu ujian yang akan menentukan tahap penguasaan kemahiran bahasa Inggeris pelajar sebelum ditempatkan di EPC Tahap 1 atau EPC Tahap 2. Dua elemen kemahiran utama yang dinilai dalam ujian EPT ini adalah kemahiran bertutur dan kemahiran menulis.
PDU juga telah mengadakan perbincangan bersama Institut Kongzi Universiti Malaya (UM) bagi membincangkan berkenaan Chinese Proficiency Test (HSK) serta gerak kerja pelaksanaannya.
Dr. Asbahan berkata, PDU dengan langkah jitu akan berusaha untuk menawarkan ujian HSK di UUM pada masa terdekat.
Turut serta, Penyelaras Khidmat Latihan Profesional, Dalila Ishak. – Amal Fakhri Zainol Abidin