Education

Pelajar IBS teroka sistem pengurusan zakat di LZNK

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Azizah Othman

ALOR SETAR, 7 Januari 2026: Seramai 22 pelajar kursus BIMCK 2083 Pengurusan Baitulmal, Wakaf dan Zakat, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengadakan lawatan akademik ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap pengurusan dan tadbir urus zakat.

Pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Azizah Othman berkata, lawatan akademik ini sebagai nilai tambah untuk pelajar memahami tentang kaedah pengurusan zakat yang berbeza di setiap negeri.

Menurutnya, LZNK merupakan institusi zakat yang tidak diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri tetapi mempunyai struktur organisasinya yang tersendiri.

“Lawatan ini mendedahkan kepada pelajar tentang sistem teknologi dan inovasi yang digunakan oleh LZNK dalam menguruskan kutipan dan agihan yang efisien,” katanya.

Sepanjang lawatan, pelajar diberi penerangan terperinci mengenai kaedah pengurusan zakat dan transformasi yang telah dilaksanakan oleh LZNK dalam memperkasakan kutipan dan agihan zakat terutama berkaitan dengan kejayaan Program Zon Pembangunan Ekonomi Ummah dan Projek Hasan.

Pelajar turut didedahkan tentang sistem Zakat On Touch yang merekodkan data kutipan dan agihan zakat secara real time. Sistem ini juga membantu LZNK untuk memantau aktiviti pengurusan zakat di setiap daerah dan membuktikan ketelusan organisasi dalam menguruskan dana zakat.

Sementara itu, pelajar, Fahmi Zidane Yusavito Alex dari Jakarta melahirkan rasa kagum dengan kaedah pengurusan zakat yang dilaksanakan oleh LZNK dan membandingkan dengan kaedah yang digunakan oleh Indonesia.

Menurutnya, pelbagai inovasi yang dibuat oleh LZNK telah membantu golongan asnaf untuk mengubah sosoekonomi mereka.

Selain itu, pelajar juga berpeluang bersoal jawab dengan pegawai LZNK, Dr. Hafizah Zainal yang merupakan Pengarah, Pusat Kajian Pengantarabangsaan Zakat.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan kajian dan pembangunan ilmu berkaitan pengurusan zakat serta terlibat dalam menyediakan perancangan strategik terhadap dasar dan amalan pengurusan zakat di peringkat negeri dan antarabangsa.

Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini telah berjaya memperkukuh kefahaman pelajar dalam memahami tadbir urus sistem kewangan Islam khususnya pengurusan zakat secara teori dan praktikal.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button