Pelajar TISSA-UUM raih Anugerah Prestij National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2025
Berita dan gambar Shazilayanty Shahrom
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026: Kecemerlangan akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi terbukti di persada negara apabila pelajar dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Aaisya Nor Akbar telah dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij, National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2025.
Anugerah telah disampaikan oleh Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Saniza Said bersempena Majlis MIA International Accountants Conference (MIAC) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi oleh Institut Akauntan Malaysia kepada pelajar Sarjana Muda Perakaunan yang cemerlang daripada universiti-universiti yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967.
Aaisya, yang dipilih mewakili UUM telah menerima sijil dan hadiah wang tunai serta penajaan untuk mengikuti kelayakan profesional atas pencapaian luar biasa beliau sepanjang pengajian.
Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut dan menyifatkan kejayaan Aaisya sebagai bukti kualiti pendidikan yang ditawarkan di TISSA-UUM konsisten dalam melahirkan akauntan masa depan yang berdaya saing.
“Kejayaan Aaisya bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga dan universiti, malah ia mencerminkan dedikasi warga TISSA-UUM dalam mengekalkan standard akademik yang tinggi.
“Kami berharap penganugerahan ini akan menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.

NASEA 2025 bukan sahaja memberi pengiktirafan akademik, malah membuka peluang kerjaya yang lebih luas buat para penerima melalui sokongan daripada badan-badan profesional perakaunan yang turut bekerjasama dengan MIA.
Pihak universiti merakamkan ucapan tahniah kepada Aaisya dan berharap beliau akan terus menyumbang kepada pembangunan profesion perakaunan negara pada masa hadapan.



