Education

Pelajar UUM menjadi pembentang dalam SAK 2025

KEDAH, 1 Jun 2025: Tiga orang pelajar Sarjana Muda Sejarah Gunaan (BAH) Kohort 4, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), mencipta kejayaan membanggakan apabila terpilih untuk membentangkan kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kedah: Historiografi Nusantara 2025 (SAK 2025) yang berlangsung di Kedah Digital Library.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat Perpaduan), Dato’ Halimaton Shaadiah Saad, yang mewakili Menteri Besar Kedah.

SAK 2025 merupakan seminar anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Lisan Malaysia (PSLM) dan UUM.

Seminar ini menghimpunkan lebih 93 kertas kerja dari Malaysia, Indonesia dan Thailand, merangkumi ahli akademik, penyelidik serta penggiat warisan dan sejarah serantau.

Seminar dua hari ini mengetengahkan wacana historiografi dan warisan Nusantara sebagai fokus utama, seiring dengan usaha mengukuhkan jaringan ilmu di peringkat antarabangsa.

Makalah bertajuk Institut Pemikiran Tun Mahathir Mohamad (IPDM) sebagai Sumber Rujukan Penyelidikan: Suatu Penelitian Awal dibentangkan oleh Muhammad Najmudin Nadzri sebagai pembentang utama, bersama dua rakan penulis iaitu Hannan Abd. Rashid dan Muhammad Arsyad Abdul Halim. Penulisan tersebut dilaksanakan di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa, selaku Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian UUM.

Kajian tersebut mengetengahkan peranan Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) sebagai sebuah institusi penting yang seharusnya menjadi pusat rujukan penyelidikan berkaitan negarawan dan tokoh utama negara. Pembentangan turut menelusuri peranan IPDM dalam mendokumentasikan wacana pemikiran dan sumbangan tokoh terhadap pembangunan nasional.

Menurut Muhammad Najmudin, pembentangan ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan IPDM kepada khalayak yang lebih luas, malah merupakan satu langkah awal ke arah mengangkat kepentingan badan-badan pemikir serta pusat-pusat pemikiran sebagai sebuah repositori pengetahuan yang inklusif dan terbuka kepada pengkaji pelbagai bidang.

“Peluang ini memberi kami pendedahan secara langsung kepada dunia akademik sebenar, di samping membina keyakinan dalam membentangkan hasil kajian kepada khalayak profesional dan menerima maklum balas yang membina” ujarnya.

Hannan Abd Rashid berpandangan bahawa SAK adalah platform yang sangat bermanfaat kepada mahasiswa, terutamanya dalam memberi ruang untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan dan penyampaian ilmiah.

Katanya, pengalaman melihat secara langsung cara penyelidik dan pensyarah membentangkan dapatan kajian membuka dimensi baharu dalam memahami gaya dan struktur pembentangan akademik. Seminar ini juga turut memberi peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan membina jaringan kerjasama dengan peserta lain dari pelbagai latar belakang dan negara.

“Aspek terpenting dalam penyertaan program ini ialah proses menghasilkan artikel ilmiah itu sendiri. Dari pemilihan topik sehinggalah kepada penulisan kesimpulan, setiap langkah memerlukan penelitian mendalam agar hasilnya benar-benar bermutu dan boleh dimanfaatkan oleh khalayak ramai”, ujarnya.

Muhammad Arsyad Abdul Halim menyifatkan penulisan artikel sebagai sebuah nilai tambah yang sangat bermakna dalam proses pembelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Pengalaman menghasilkan penulisan akademik memberikan pendedahan secara langsung kepada kaedah penyelidikan, disiplin menulis secara tersusun, serta kebolehan menyampaikan hujah dengan lebih teratur. Ini merupakan terjemahan kepada apa yang kami pelajari dalam program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian.

Seminar ini turut menjadi wadah penting dalam mempromosikan bidang sejarah gunaan kepada masyarakat umum dan menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan dan pengkaji sejarah dari pelbagai latar belakang. Penyertaan aktif pelajar UUM dalam platform sebegini turut menyumbang kepada pembinaan jaringan ilmiah di peringkat global. – SLCP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button