Pelajar UUM rangkul emas di Fusion 2025 Student Design Challenge
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Husniza Husni
KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025: Pelajar dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila berjaya meraih dua pingat emas serta anugerah Best Presenter dalam pertandingan FUSION 2025 Student Design Challenge (SDC) di Asia Pacific University (APU) 26 Oktober lalu.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), SOC, Prof. Madya Dr. Husniza Husin berkata, pertandingan anjuran tahunan ini menghimpunkan pelajar universiti seluruh negara bagi mempamerkan kreativiti dan inovasi dalam bidang reka bentuk digital serta penyelesaian berasaskan teknologi.
Dalam Cabaran Poster, projek Tangiread hasil inovasi pelajar tahun akhir Muhammad Khairul Inas Shaifulrizal dan Tuan Muhammad Farhan Tuan Rashid berjaya memenangi pingat emas melalui pendekatan interaktif dalam pembacaan yang menggabungkan teknologi dan pengalaman pengguna (UX) untuk membantu kanak-kanak dalam pembelajaran.
Sementara itu, dalam Cabaran Inovasi berbentuk project pitching , pasukan yang dianggotai oleh Nur Kaisah Abu Bakar, Wan Muhammad Ikmal Wan Mohd Marzuki, dan Muhammad Syafiq Suhairy turut membawa pulang pingat emas menerusi projek Mural Alive, sebuah inovasi yang menghidupkan seni mural menggunakan teknologi realiti tambahan (AR) untuk meningkatkan interaksi budaya dan pendidikan komuniti.

Lebih membanggakan lagi, Wan Muhammad Ikmal Wan Mohd Marzuki pelajar Sarjana Muda Sains Komputer, turut dinobatkan sebagai “Best Presenter”, mengiktiraf kemahiran penyampaian dan komunikasi luar biasanya semasa sesi pembentangan projek.
Secara keseluruhan, SOC UUM menghantar enam projek ke pertandingan tersebut, melibatkan pelajar daripada program Sarjana Muda Sains Komputer dan Sarjana Muda Teknologi Maklumat, yang kesemuanya menampilkan idea-idea inovatif berteraskan penyelesaian digital dan sosial.
Kemenangan ini sekali lagi menyerlahkan komitmen SOC UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, tetapi juga kreatif, berdaya saing, dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat melalui inovasi digital.



