Education

 Peluang 50 peluang penempatan latihan industri di Westin Langkawi setiap tahun menanti pelajar

Berita dan gambar Dr.  Zuliana Azwa Zulkifli

PULAU LANGKAWI, 12 SEPTEMBER 2025: Lawatan kerja Universiti Utara Malaysia (UUM) ke The Westin Langkawi Resort & Spa, sebuah hotel bertaraf lima bintang di bawah rangkaian antarabangsa Marriott International, membuka peluang perbincangan strategik dalam memperkukuh kerjasama latihan industri pelajar dan pembangunan modal insan.

Dalam sesi pertemuan tersebut, Pegawai Eksekutif Pembelajaran dan Pembangunan The Westin, Siti Noor Afiqah, menekankan kepentingan pendedahan awal kepada realiti industri perhotelan bagi pelajar sebelum memulakan latihan industri.

“Pendedahan yang betul amat penting kerana ramai pelajar tidak memahami skop kerja sebenar dan cabaran industri,” katanya.

Selain membuka peluang latihan industri kepada pelajar, The Westin turut mengalu-alukan penyertaan staf dan tenaga pengajar UUM untuk mengikuti program latihan industri jangka pendek.

Menurutnya, inisiatif ini bertujuan memberikan pengalaman langsung mengenai operasi dan cabaran industri perhotelan sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap keperluan semasa sektor ini.

Seiring komitmen terhadap agenda kepelbagaian dan keterangkuman, The Westin juga memberi tumpuan kepada pengambilan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai sebahagian daripada tenaga kerja.

Satu sesi temuduga padanan kerja bakal diadakan pada 25 September ini di The Westin bagi memberi peluang kerjaya yang lebih inklusif.

Dengan keperluan melebihi 50 pelajar latihan industri setiap tahun, pihak The Westin menggalakkan lebih ramai pelajar memanfaatkan peluang ini untuk menimba pengalaman dalam persekitaran perhotelan bertaraf antarabangsa.

Lawatan kerja ini menggariskan potensi besar kerjasama antara UUM dan The Westin, bukan sahaja dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi tetapi juga dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk industri hospitaliti global.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button