Education

Pemantapan Kemahiran Komunikasi kukuhkan kepimpinan pemimpin KOSPEN Kedah

Berita dan gambar Dr. S Maartandan A/l Suppiah

ALOR SETAR, 11 November 2025: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah melalui Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) telah menganjurkan Program Pemantapan Kemahiran Komunikasi Kepimpinan bagi Pemimpin KOSPEN 2025 di Dewan Seminar 3 dan 4, Menara Zakat Negeri Kedah, baru-baru ini.

Program ini bertujuan meningkatkan kecekapan kemahiran komunikasi dalam kalangan pemimpin komuniti Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) bagi memperkasakan peranan mereka sebagai agen perubahan sosial dalam promosi kesihatan di peringkat akar umbi.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) JKN Kedah, Dr. Muhamad Fadhil Mohamad Marzuki  yang menegaskan kepentingan kemahiran komunikasi kepimpinan berkesan dalam menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat.

“Pemimpin KOSPEN bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi duta kesihatan komuniti yang perlu mampu berinteraksi, memujuk, dan menggerakkan masyarakat ke arah amalan hidup sihat.

“JKN Kedah akan terus memperkasakan kapasiti pemimpin komuniti agar selari dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memperkukuh promosi kesihatan awam.

“Kejayaan program ini menjadi bukti bahawa kemahiran komunikasi kepimpinan yang mantap adalah kunci kepada keberkesanan intervensi kesihatan awam. Apabila mesej sampai dengan jelas dan empati, perubahan tingkah laku akan lebih mudah berlaku,” katanya.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diketuai oleh pensyarah UUM, Dr. S. Maartandan Suppiah sebagai Ketua Jurulatih.

Menurutnya, inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan keupayaan pemimpin KOSPEN dalam mengaplikasikan kemahiran komunikasi kepimpinan yang berkesan, seterusnya meningkatkan keberkesanan mereka dalam menyampaikan mesej kesihatan kepada komuniti.

Program ini menampilkan empat sesi utama yang dikendalikan oleh penceramah berpengalaman iaitu Dr. S. Maartandan, Dr. Miharaini Md Ghani, dan Nor Azlina Ramli.

Setiap sesi memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran komunikasi kepimpinan dua hala, penguasaan gaya kepimpinan, strategi pembujukan, serta perancangan kempen komunikasi berkesan di peringkat komuniti.

Program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman serta cabaran komunikasi di lapangan. Melalui sesi interaktif dan refleksi kumpulan, pemimpin KOSPEN dilatih untuk merancang dan menilai keberkesanan pendekatan komunikasi mereka dalam mendekati masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Penganjuran program seperti ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan peserta dalam komunikasi strategik, malah mengasah kemahiran kepimpinan berasaskan empati, kerjasama, dan keberanian membuat keputusan bagi membolehkan sukarelawan KOSPEN menjalankan peranan sebagai agen perubahan tingkah laku dalam masyarakat.

Program yang disertai oleh pemimpin-pemimpin KOSPEN dari 5 daerah di negeri Kedah itu diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan penyampaian cenderahati kepada penceramah dan fasilitator. Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) khususnya SDG 3 Kesihatan dan Kesejahteraan melalui usaha memperkasa pemimpin komuniti KOSPEN agar berupaya memimpin perubahan tingkah laku kesihatan secara mampan melalui komunikasi kepimpinan yang berkesan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button