Pembangunan Modul HEART: Program Komuniti perkasa pengusaha Inap Desa Kampung Pulau Pisang
Berita dan gambar Dr Siti Noormala Jailani
SINTOK, 15 Februari 2026: Satu program komuniti di bawah tajaan Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) telah dilaksanakan pada 5 dan 6 Februari lalu melalui pembangunan Modul Edu-Pelancongan Berasaskan Komuniti atau dikenali sebagai HEART (Homestay Empowerment and Advancement for Rural Tourism).
Sesi latihan ini digerakkan oleh lima pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) yang diketuai oleh Dr. Siti Noormala Jailani.

Dr. Siti Noormala berkata, program ini bertujuan memperkasa pengusaha inap desa melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan dalam pengurusan hospitaliti.
Menurutnya, objektif utama pelaksanaan program HEART secara asasnya adalah untuk mengenal pasti tahap pengetahuan dan kemahiran sedia ada pengusaha inap desa, khususnya dalam aspek pengurusan hospitaliti selain meneliti cabaran operasi harian yang dihadapi oleh peserta inap desa Kampung Pulau Pisang, Jitra.
Seramai 18 peserta yang terdiri daripada pengusaha inap desa Kampung Pulau Pisang telah menyertai program ini dan mengikuti tiga sesi latihan awal daripada lima sesi latihan keseluruhan.
Sesi latihan ini dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pemindahan ilmu dan kemahiran dapat dilakukan secara berkesan serta selari dengan keperluan sebenar komuniti setempat selain dari mencapai objektif geran.

Dapatan daripada sesi latihan dan perbincangan ini akan digunakan sebagai asas dalam pembinaan modul HEART yang lebih komprehensif, praktikal dan berfokuskan keperluan komuniti. Ini selaras dengan pandangan yang diberi oleh mantan Pengerusi Inap Desa Kampung Pulau Pisang, Nor Hizan Abd Ghani atau lebih mesra di sapa Pak Atan berkenaan projek ini.
Nor Hizan amat berterima kasih dengan pasukan penyelidik STHEM yang memilih inap desa kampung mereka sebagai komuniti untuk dibangun dan dibantu.
Menurutnya, selain dari cabaran selepas Covid-19, komuniti inap desa perlu mendapat lebih pendedahan dengan inovasi-inovasi produk pelancongan seiring dengan perubahan yang berlaku dalam industri pelancongan.

“Melalui pembangunan Modul HEART, program ini diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan inap desa, memperkukuhkan kecekapan operasi, serta menyumbang kepada kelestarian pelancongan berasaskan komuniti di kawasan luar bandar terutamanya kawasan Kubang Pasu, Kedah.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi pembangunan komuniti inklusif dan pemerkasaan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan,” katanya.
Fasilitator-fasilitator yang dijemput untuk menjayakan program ini adalah dalam kalangan ahli akademik serta pemain industri.



