Education

Pengukuhan Teknik Menjawab Matematik SPM melalui Program POTENSI di SMK Seri Pantai

Berita dan gambar Rabiatul Athirah Abdul Rahman

KUALA KEDAH, 11 November 2025: Program POTENSI 2025 diteruskan dengan pelaksanaan sesi bagi subjek Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kuala Kedah, anjuran Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani.

Pensyarah Kanan SOE, Dr. Nurul Atiqah Talib berkata, sesi kali ini memberi tumpuan kepada pelajar Tingkatan 5 sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM, khususnya dalam topik matriks.

Menurutnya, objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar menguasai teknik menjawab soalan dengan berkesan, meningkatkan keyakinan diri ketika menerangkan jawapan di hadapan kelas, serta membiasakan pelajar dengan format soalan peperiksaan sebenar.

Sepanjang sesi, pelajar mendapat bimbingan langsung daripada pensyarah UUM yang memberikan maklum balas segera terhadap kaedah penyelesaian soalan.

Dua fasilitator yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah SOE turut membantu secara individu bagi memastikan setiap pelajar memahami konsep dan langkah penyelesaian dengan lebih mendalam.

Sementara itu, Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain berkata, impak program ini dapat dilihat melalui peningkatan keyakinan pelajar dalam mengaplikasikan teknik menjawab dengan tepat serta semangat kerjasama yang tinggi sepanjang sesi.

Guru Matematik sekolah turut menyampaikan penghargaan atas penganjuran inisiatif ini yang dilihat memberi manfaat besar kepada persediaan akhir pelajar menjelang peperiksaan SPM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button