Education

Pensyarah Kanan UUMKL terima Anugerah Kertas Kerja Terbaik di 9th ICSHT 2026

Gambar Global Academic Excellence Sdn. Bhd. (GAE)

PUTRAJAYA, 13 Julai 2026: Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), Dr. Nabilaa Mohamed telah menerima Anugerah Kertas Kerja Terbaik sempena 9th International Conference on Social Sciences, Humanities and Technology 2026 (9th ICSHT 2026) yang berlangsung dari 27 hingga 29 Jun lalu di Dorsett Hotel, Putrajaya.

Persidangan anjuran Global Academic Excellence Sdn. Bhd. (GAE) itu menghimpunkan hampir 140 peserta dan pembentang kertas kerja daripada pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Nigeria. Penyertaan dilaksanakan menerusi tiga kaedah, iaitu pembentangan secara bersemuka, pembentangan dalam talian secara langsung serta penyerahan rakaman video.

Dalam persidangan tersebut, Dr. Nabilaa membentangkan kertas kerja bertajuk “Understanding the Effectiveness of Green Open Space in Urban Pollution Mitigation: A Comparative Study of Malaysia and Indonesia.” Kertas kerja itu dihasilkan bersama-sama Dr. Thenmolli Vadeveloo dan Dr. Zarina Mohd Zain dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Prof. Madya Dr. Roni Ekha Putera dari Universitas Andalas (UNAND), Indonesia.

Dr. Nabilaa berkata, kajian tersebut meneliti keberkesanan ruang terbuka hijau dalam mengurangkan pencemaran bandar di Melaka, Malaysia dan Padang, Indonesia yang melibatkan empat taman bandar iaitu Taman Rekreasi Bukit Serindit dan Taman Bunga Merdeka di Melaka serta RTH Imam Bonjol dan Taman Nanggalo di Padang.

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif perbandingan menerusi temu bual separa berstruktur dengan 10 orang informan yang dipilih secara persampelan bertujuan. Informan terdiri daripada penduduk tetap, pengguna taman yang kerap dan individu yang mempunyai pengetahuan tentang program pembangunan bandar hijau.

Dapatan data menggunakan kaedah analisis tematik dengan bantuan perisian NVivo, di samping semakan ahli, pengekodan oleh penyelidik bebas dan triangulasi dengan sorotan literatur bagi meningkatkan kebolehpercayaan dapatan.

Dapatan kajian telah mengenal pasti tiga bidang utama pengurangan pencemaran, iaitu pencemaran air, pencemaran bunyi dan pencemaran udara. Antara ketiga-tiga bidang tersebut, ruang terbuka hijau menunjukkan sumbangan paling ketara dalam mengurangkan pencemaran udara, khususnya yang melibatkan jerebu, asap kenderaan dan karbon dioksida. Sembilan daripada 10 informan berpandangan bahawa taman yang dikaji mempunyai keupayaan yang tinggi untuk membantu mengurangkan pencemaran udara.

Kajian itu turut mendapati bahawa tahap keberkesanan ruang terbuka hijau berbeza antara Melaka dengan Padang. Taman-taman di Melaka menunjukkan keupayaan yang lebih tinggi dalam mengurangkan pencemaran udara, manakala taman-taman di Padang berdepan cabaran yang lebih ketara dalam mengurangkan pencemaran bunyi dan jerebu. Perbezaan tersebut dikaitkan dengan keluasan taman yang lebih kecil, liputan tumbuh-tumbuhan yang terhad, komposisi vegetasi serta struktur pengurusan yang melibatkan institusi di luar pihak berkuasa alam sekitar tempatan.

Kajian ini menegaskan bahawa keberkesanan ruang terbuka hijau bukan sahaja bergantung pada kewujudan pokok dan tumbuh-tumbuhan, tetapi turut dipengaruhi oleh keluasan taman, reka bentuk landskap, pemilihan spesies tumbuhan, penyelarasan antara institusi dan struktur pengurusan. Sehubungan dengan itu, kajian mencadangkan agar kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dengan agensi berkaitan diperkukuh bagi menambah baik reka bentuk, keluasan dan tadbir urus ruang terbuka hijau, sekali gus meningkatkan fungsinya dalam mengurangkan pencemaran bandar.

Penerimaan Anugerah Kertas Kerja Terbaik ini mengiktiraf mutu akademik, sumbangan perbandingan dan kepentingan praktikal kajian tersebut dalam bidang kelestarian bandar, pembangunan bandar hijau, tadbir urus alam sekitar dan mitigasi pencemaran.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen UUMKL dalam memperkasakan penyelidikan berkualiti tinggi, memperluas penglibatan akademik pada peringkat antarabangsa dan menyumbang pengetahuan berasaskan bukti dalam menangani cabaran bandar dan alam sekitar semasa.

Pencapaian ini turut meningkatkan keterlihatan UUMKL serta memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan dalam bidang pengurusan awam, tadbir urus bandar, pengurusan ruang terbuka hijau dan pembangunan lestari. – Dr. Nabilaa Mohamed

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button