PENSYARAH UUM PACU PENGGUBALAN DASAR WANITA KEDAH BERTERASKAN SUARA AKAR UMBI
Berita oleh: Sharima Ruwaida Abbas dan Prof. Madya Dr. Syakiran Akmal Ismail
Gambar oleh: Dr. Junidah Abdul Shukur dan Dr. Nurzalyna Mohamed Zaki
SINTOK, KEDAH – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh peranan sebagai institusi ilmu yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri apabila empat orang pensyarah UUM terlibat sebagai penggubal Dasar Wanita Kedah. Empat orang pensyarah dari ahli penggubal yang telah dilantik dari tahun 2024 adalah, Prof. Madya Dr. Nur Syakiran Akmal Ismail dari Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar dan Sharima Ruwaida Abbas dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial dan Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah binti Ahmad Zakuan dari Pusat Pengajian Antarabangsa.

Ahli-ahli penggubal ini juga telah dilantik sebagai Kumpulan Perunding Dasar Wanita Kedah melalui UUM LEAD bersama dengan tiga orang pensyarah lain, iaitu Prof. Ts. Dr. Mohd Faizal Omar dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, dan Prof. Madya Dr. Zawiyah Mohd Zain dari Pusat Pengajian Kerajaan serta dua pembantu penyelidik Dr. Junidah Abdul Shukur dan Dr. Nurzalyna Mohamed Zaki untuk membantu mendapatkan data yang relevan dari akar umbi.
Kumpulan penyelidik ini telah turun padang ke setiap dearah dan berperanan mendapatkan input daripada komuniti bagi memastikan dasar yang dibangunkan benar-benar bersifat inklusif, responsif dan berasaskan keperluan sebenar wanita di negeri Kedah. Penglibatan warga akademik UUM ini mencerminkan komitmen universiti dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan pembangunan dasar awam, khususnya dalam memperkasa wanita serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Pendekatan turun padang ini amat penting kerana sesuatu dasar tidak seharusnya hanya dibangunkan berdasarkan perspektif institusi atau data sekunder semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira suara dan pengalaman sebenar masyarakat di peringkat akar umbi (grassroot level). Melalui penglibatan penyelidik di lapangan, pelbagai perspektif komuniti dapat dikenal pasti untuk menjadi input kepada proses penggubalan dasar. Pendekatan ini membolehkan isu dan keperluan sebenar wanita diterjemahkan ke dalam bentuk strategi, program dan intervensi yang lebih relevan serta praktikal.
Dasar Wanita Kedah ini memberi tumpuan kepada empat kluster utama. Kluster pertama berfokus kepada Pembangunan Bakat, di mana ianya memberi fokus kepada pembangunan kapasiti, pendidikan, kemahiran, kebolehpasaran, pembangunan profesional serta peningkatan potensi wanita supaya mereka mampu menyumbang secara lebih bermakna kepada keluarga, masyarakat dan pembangunan negeri.

Kluster Ekonomi pula, adalah kluster kedua yang memberi penekanan kepada pengukuhan penyertaan wanita dalam ekonomi melalui peluang pekerjaan, keusahawanan, peningkatan pendapatan, kemahiran ekonomi serta akses kepada peluang dan sumber yang dapat membantu wanita mencapai kemandirian ekonomi.
Manakala kluster ketiga adalah, Kluster Jaminan Sosial dan Kesejahteraan, memberi perhatian kepada aspek keselamatan sosial, kesihatan, kesejahteraan fizikal dan psikososial, perlindungan serta sokongan kepada wanita yang berada dalam keadaan rentan. Pendekatan yang menyeluruh diperlukan bagi memastikan wanita tidak tercicir daripada sistem sokongan sosial.
Akhir sekali adalah, Kluster Kepimpinan, di mana ianya memberi fokus kepada peningkatan penyertaan dan representasi wanita dalam kepimpinan di pelbagai peringkat, termasuk keluarga, komuniti, organisasi, institusi dan sektor awam serta swasta.

Menghubungkan Dasar Wanita Kedah dengan realiti komuniti, penglibatan pensyarah UUM dalam proses penggubalan dan penyelidikan ini, turut memperlihatkan kepentingan pendekatan evidence-based policy dalam pembangunan dasar. Dapatan penyelidikan dan pengalaman komuniti digabungkan dengan kepakaran akademik bagi menghasilkan dasar yang lebih dekat dengan realiti kehidupan wanita di Kedah.
Pendekatan bottom-up yang memberi ruang kepada komuniti untuk menyuarakan pandangan juga dapat membantu mengenal pasti jurang antara dasar, pelaksanaan dan keperluan sebenar masyarakat. Hal ini penting kerana wanita di Kedah bukanlah satu kelompok yang homogen. Mereka terdiri daripada wanita bandar dan luar bandar, wanita bekerja dan tidak bekerja, usahawan, ibu tunggal, golongan profesional, wanita muda, warga emas serta wanita daripada komuniti yang mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza.

Oleh itu, input yang diperoleh daripada komuniti dapat membantu memastikan dasar yang dirangka mengambil kira kepelbagaian pengalaman dan keperluan tersebut.
Gabungan antara kepakaran akademik, penyelidikan lapangan dan suara komuniti dapat menghasilkan Dasar Wanita Kedah yang lebih responsif, realistik dan berimpak kepada kehidupan wanita di seluruh negeri. Dasar Wanita Kedah yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kerajaan Negeri Kedah, telah menjadi rujukan untuk program dan aktiviti yang melibatkan pembuatan keputusan wanita di Kedah.
Usaha ini juga selari dengan aspirasi untuk memastikan pembangunan wanita bukan hanya dilihat dari sudut kebajikan, tetapi sebagai satu agenda pembangunan negeri yang melibatkan pembangunan modal insan, pemerkasaan ekonomi, jaminan sosial, kesejahteraan dan kepimpinan wanita.
