Education

Pentingnya peranan ‘housekeeping’ dalam mewujudkan asrama bersih, selamat dan lestari

Gambar STHEM

SINTOK, 8 Disember 2025: Seramai 220 pelajar Maahad Tarbiyah Islamiah Derang telah menyertai program advokasi sehari yang dikenali sebagai Dorm iCare & Go: Smart & Sustainability Initiative.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang dianjurkan oleh 63 pelajar kursus GHOTK3043 Housekeeping dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program yang diketuai oleh Pensyarah Kursus, Dr. Siti Aishah Edros ini bertujuan memberi tumpuan kepada pendidikan advokasi yang kritikal, merangkumi kebersihan, pengurusan bilik asrama yang cekap dan penerapan gaya hidup lestari.

Selain itu, menurutnya, program ini turut menekankan pembangunan akhlak dan emosi pelajar, pendekatan yang digunakan adalah melalui tema tiga serangkai iaitu Smart Thinking, Smart Living, dan Smart Feeling.

“Program ini bertujuan untuk melengkapkan pelajar asrama dengan kemahiran praktikal dan kesedaran kendiri yang membolehkan mereka menguruskan kehidupan seharian dengan lebih teratur dan beretika.

“Melalui inisiatif ini, pelajar UUM bukan sahaja dapat mengaplikasikan ilmu housekeeping yang dipelajari, malah turut menyumbang kepada masyarakat selaras dengan matlamat SULAM untuk melahirkan graduan yang bertanggungjawab terhadap sosial,” katanya.

Program ini dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam mempromosikan persekitaran hidup yang lebih bersih, sihat dan lestari dalam kalangan pelajar Maahad Tarbiyah Islamiah Derang.

Peserta kemudian mengikuti slot pertama, iaitu forum bersama wakil industri dan fasilitator UUM iaitu Junaidah Yusof, Room Division Manager Hotel EDC UUM, dan Muhammad Alif Iskandar Zalami, Presiden Kelab Pelajar Hospitaliti (SCOHOST).

Slot pertama ini bertujuan membuka ruang perbincangan dan memberi pemahaman yang lebih jelas kepada pelajar mengenai dua aspek penting dalam kehidupan seharian melalui  pemikiran yang bijak (Smart Thinking) dan kemahiran mengurus diri (Smart Living).

Dalam sesi tersebut, Junaidah menekankan kepentingan sikap keterbukaan dalam menerima teguran sebagai usaha memperbaiki kelemahan diri serta menilai persepsi terhadap realiti.

Sementara itu, Muhammad Alif menjelaskan bahawa pengurusan masa merupakan elemen penting bagi membantu pelajar mengenal pasti perkara yang perlu diutamakan berbanding perkara sampingan.

Seterusnya, program diteruskan dengan slot 2 yang memfokuskan kepada kreativiti visual dan kepentingan amalan kitar semula. Dalam sesi ini pelajar diberikan pendedahan tentang cara memanfaatkan bahan terpakai untuk menghasilkan idea dekorasi yang bernilai. Mereka turut diperkenalkan dengan penggunaan aplikasi Canva bagi tugasan kreatif semasa sesi di makmal komputer. Selain itu, pelajar turut menyertai aktiviti kuiz bagi menilai tahap pemahaman mereka terhadap pengisian slot tersebut.

Pada masa yang sama, slot 3 yang menjadi tarikan utama kerana pelajar didedahkan dengan demonstrasi mengenai konsep housekeeping yang betul, ini termasuk teknik mengemas bilik, menjaga kebersihan asrama, serta memahami kaitan antara kebersihan dan kesihatan mental. Slot ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu tersebut secara praktikal di asrama mereka sendiri, dibawah bimbingan rapi fasilitator UUM. Aktiviti praktikal ini bertujuan untuk menanam kemahiran pengurusan diri secara lestari.

Slot terakhir, pelajar dibahagikan mengikut jantina bagi memastikan aktiviti yang dijalankan lebih terarah dan sesuai. Pelajar lelaki melaksanakan aktiviti di dorm masing-masing, yang juga dikenali sebagai usrah dan dinamakan sempena sahabat Nabi, seperti Usrah Abu Bakar. Sementara pelajar perempuan mengikuti sesi kotak luahan hati sebagai ruang selamat untuk berkongsi perasaan serta membina sokongan emosi dalam kalangan pelajar perempuan.

Pengarah Program, Muhammad Ammar Razeen Azhar berkata, kesedaran kebersihan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, ramai pelajar tidak didedahkan secara formal kepada cara mengurus bilik dengan betul dan melalui program ini, pihaknya mahu membina budaya kebersihan, disiplin dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka.

“Pendekatan hands-on dan interaktif membantu meningkatkan minat pelajar untuk lebih mudah faham apabila mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti. Mereka bukan sekadar mendengar, tetapi mencuba sendiri teknik pengurusan kebersihan,” katanya.

Mudir menengah Maahad, Muhammad Faiz Muhammad Ali berkata, program ini amat membantu pelajar dalam membina disiplin serta menguasai kemahiran hidup yang penting.

“Pihak Maahad juga berasa amat berbesar hati menerima kunjungan dan perkongsian ilmu daripada UUM dan pelajar sangat menggemari serta menghargai pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dijalankan,” katanya.

Keseluruhannya, Dorm iCare & Go: Smart & Sustainability Initiative bukan sekadar program (SULAM), tetapi satu usaha membentuk komuniti pelajar yang lebih berdisiplin, celik kelestarian, kreatif dan bertanggungjawab.

Program ini membuktikan bahawa pendidikan berimpak tinggi mampu memberi perubahan positif kepada masyarakat apabila pelajar universiti turun padang menyantuni komuniti secara langsung. – Muttaqin Muslim dan Nur Syuhada Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button