Penyelidik SLCP berkongsi ilmu Business Model Canvas kepada peserta BAKAT
Gambar SLCP
BUKIT KAYU HITAM, 14 Julai 2026: Komitmen Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memperkasakan komuniti melalui pemindahan ilmu diteruskan apabila penyelidik dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) berkongsi pengetahuan mengenai Business Model Canvas (BMC) kepada peserta Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) bersempena pelaksanaan Program Pemindahan Ilmu (KTP) Ekonomi Madani: Keusahawanan Kelulut 2026 yang berlangsung di Dewan BAKAT, Kem Rejimen Sempadan 5, Bukit Kayu Hitam.
Sesi latihan ini dikendalikan oleh pasukan penyelidik UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie bersama Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib dan Syahrina Abdullah.

Program tersebut disertai oleh seramai 20 ahli BAKAT yang sedang mengikuti projek pembangunan keusahawanan kelulut sepanjang tahun 2026 dan ia merupakan projek pemerkasaan ekonomi komuniti di bawah inisiatif Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelaksanaan di bawah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM.
Dr. Mohamad Khadafi berkata, objektif utama sesi ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan Business Model Canvas (BMC) sebagai alat perancangan strategik dalam membangunkan dan mengurus sesebuah perniagaan secara sistematik.
Menurutnya, peserta diperkenalkan kepada sembilan komponen utama BMC yang merangkumi segmen pelanggan, cadangan nilai, saluran pemasaran, hubungan pelanggan, aliran pendapatan, sumber utama, aktiviti utama, rakan strategik dan struktur kos.
Melalui pendekatan pembelajaran secara interaktif, peserta dibimbing membangunkan Business Model Canvas bagi projek penternakan kelulut yang bakal diusahakan. Aktiviti berkumpulan turut diadakan bagi membolehkan peserta mengenal pasti potensi pasaran, strategi pemasaran, sumber pendapatan serta nilai tambah yang boleh diwujudkan melalui penghasilan produk berasaskan madu kelulut.
“Penggunaan Business Model Canvas mampu membantu usahawan merancang perniagaan dengan lebih jelas, mengenal pasti peluang pasaran serta membina model perniagaan yang mampan sebelum memulakan operasi sebenar.

“Pendekatan ini juga dapat meningkatkan keyakinan peserta dalam membuat keputusan perniagaan secara lebih strategik dan berdaya saing,” katanya.
Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut berpeluang membentangkan hasil perancangan Business Model Canvas masing-masing dan menerima maklum balas daripada kumpulan penyelidik.
Perbincangan dua hala ini memberi ruang kepada peserta memperhalusi idea perniagaan serta mengenal pasti strategi yang bersesuaian dengan potensi industri kelulut di kawasan Kem Rejimen Sempadan 5.
Program ini merupakan antara pengisian penting dalam fasa pembangunan kompetensi peserta sebelum memasuki latihan teknikal penternakan kelulut, penghasilan produk, penjenamaan dan pemasaran yang akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Program KTP Ekonomi Madani 2026.
Sesi perkongsian ilmu Business Model Canvas ini berjaya meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek perancangan perniagaan dan membentuk asas yang kukuh untuk melahirkan usahawan kelulut yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh hubungan strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia melalui program pemindahan ilmu yang memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi komuniti. – Syahrina Abdullah



