Penyelidik SLCP kongsi ilmu penternakan kelulut bersama komuniti Madrasah Tahfiz Taufiqillah
Gambar SLCP
JITRA, 4 Februari 2026: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah mengadakan kunjungan ke Madrasah Tahfiz Taufiqillah di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, baru-baru ini sebagai usaha menyokong kelestarian institusi pendidikan tahfiz melalui pemerkasaan ekonomi komuniti di bawah dana Program Pemindahan Ilmu Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Kunjungan yang diketuai oleh Dekan SLCP merangkap Ketua Projek Knowledge Transfer Program (KTP) Ekonomi Madani 2026: Keusahawanan Kelulut, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie bersama pensyarah dan dua ahli penyelidik Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib dan Syahrina Abdullah disambut oleh Pengasas Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Auzaid Ismail.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, kunjungan ini bertujuan untuk berkongsi ilmu berkaitan pengurusan penternakan kelulut secara lestari yang berpotensi dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menampung kos operasi madrasah tahfiz.
“Penternakan kelulut merupakan satu aktiviti keusahawanan yang berdaya maju, mesra alam dan boleh dilaksanakan secara berperingkat.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah selari dengan nilai kelestarian dan pembangunan komuniti,” katanya.
Sepanjang sesi kunjungan, perbincangan turut menyentuh latar belakang penubuhan madrasah, cabaran operasi yang dihadapi serta potensi kerjasama jangka panjang antara SLCP dan Madrasah Tahfiz Taufiqillah. Pihak SLCP turut berkongsi pendedahan asas berkaitan pengurusan, potensi hasil serta kaedah penternakan kelulut yang praktikal dan sistematik.

Sementara itu, Auzaid merakamkan penghargaan atas kesudian pihak SLCP berkongsi ilmu dan pengalaman, serta menyatakan bahawa inisiatif sebegini amat membantu institusi tahfiz dalam usaha menjana pendapatan secara mampan tanpa menjejaskan fokus utama pendidikan al-Quran.
Pada masa yang sama, wakil SLCP turut di bawa melihat sendiri kawasan penternakan kelulut yang sedang diusahakan di kawasan madrasah tersebut.
Kunjungan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek penternakan kelulut di Madrasah Tahfiz Taufiqillah serta membuka ruang kerjasama berterusan dalam bidang pemindahan ilmu dan khidmat komuniti pada masa hadapan. – Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib.



