Education

Penyelidik TISSA-UUM pacu transformasi pengurusan kewangan mampan usahawan agro Kedah

Gambar Dr Nadzirah Mohd Said

SINTOK, 7 April 2025: Projek Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) bertajuk “Pemerkasaan Usahawan Agro Melalui Pengurusan Kewangan Mampan” telah berjaya memperkasakan usahawan agro sekitar negeri Kedah melalui pelaksanaan siri bengkel dan aktiviti pemantauan ladang secara sistematik.

Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM), Jabatan Pertanian Kedah, dan Koperasi Pengusaha Agro Kedah Berhad, yang bermatlamat memperkukuh kemahiran pengurusan kewangan dalam kalangan pengusaha sektor agro.

Projek ini turut mendapat sokongan padu daripada enam penyelidik berpengalaman daripada TISSA-UUM yang diketuai Dr. Nadzirah Mohd Said selain Noor Asma Jamaluddin, Prof. Madya Dr. Natrah Saad, Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, Dr. Zakiyah Sharif, Dr. Rokiah Ishak.

Dr. Nadzirah berkata, sinergi kepakaran akademik dalam bidang perakaunan, kewangan dan keusahawanan ini menjadi teras utama kejayaan pelaksanaan program berimpak tinggi ini.

Menurutnya, pelaksanaan program ini disasarkan untuk membina keupayaan keusahawanan berasaskan agro melalui penguasaan prinsip-prinsip kewangan asas yang mapan.

Katanya, projek ini terdiri daripada tiga siri bengkel yang menyasarkan kepada latihan praktikal serta disusuli pemantauan di lapangan bagi mengukuhkan impak latihan secara langsung terhadap operasi harian para peserta.

Siri pertama yang bertemakan Pengekosan, Analisis Kos-Volum-Untung (KVU) dan Belanjawan telah dilaksanakan pada 27 November 2024 bertempat di TISSA Virtual Room. Bengkel ini berjaya menarik penyertaan seramai 15 usahawan agro Kedah dan seorang wakil daripada Koperasi Pengusaha Agro Kedah Berhad. Sesi ini memberi tumpuan kepada pengetahuan asas dalam pengiraan kos pengeluaran, analisi KVU dan pembangunan belanjawan yang sistematik untuk perniagaan pertanian.

Siri kedua bengkel, iaitu Perekodan dan Pelaporan Kewangan, telah diadakan pada 15 Januari lalu, juga di TISSA Virtual Room yang disertai oleh 15 peserta, selain kehadiran seorang wakil dari Jabatan Pertanian Kedah dan seorang wakil dari Koperasi Agro Kedah Berhad. Bengkel ini memberi fokus kepada kemahiran merekod kewangan yang betul dan pemahaman asas terhadap laporan kewangan yang boleh membantu usahawan membuat keputusan perniagaan secara lebih berinformasi.

Seterusnya, siri ketiga yang berlangsung pada 26 Februari bertempat di Bilik Mesyuarat Insan Fikir membawa tema Pemasaran dan Pemantauan bagi Perekodan serta Pelaporan Kewangan. Selain daripada meneroka strategi pemasaran digital dan nilai tambah produk agro, sesi ini yang disertai 15 peserta, selain 2 wakil dari Jabatan Pertanian dan seorang lagi dari pihak koperasi turut menbuat pemantauan bagi perekodan dan pelaporan kewangan bagi menilai kemajuan peserta dalam mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari pada siri sebelum ini.

Sebagai pelengkap kepada ketiga-tiga siri bengkel ini, satu aktiviti pemantauan lapangan turut dijalankan secara berterusan sepanjang November 2024 hingga Januari 2025. Aktiviti ini melibatkan lawatan ke ladang dan kebun peserta bagi menilai secara langsung keberkesanan pelaksanaan amalan pengurusan kewangan dan keberhasilan penglibatan peserta dalam meningkatkan produktiviti pertanian.

Dr. Nadzirah menegaskan bahawa kesemua tiga siri bengkel dan sesi pemantauan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya, dan telah mencapai keseluruhan objektif yang digariskan dalam pelaksanaan geran SIGS ini. Program ini tidak hanya memfokus kepada peningkatan pengetahuan teknikal, tetapi juga berjaya menanam nilai keusahawanan beretika dan berdaya tahan dalam kalangan peserta.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua rakan kolaboratif serta pasukan penyelidik TISSA-UUM yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini. Kolaborasi erat antara institusi akademik, agensi kerajaan, dan koperasi tempatan ini diyakini dapat memperkukuh ekosistem keusahawanan agro yang mampan dan inklusif di peringkat akar umbi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button