Penyelidik UUM teroka kerjasama Al-Ridzuan Travel & Tours Sdn Bhd bagi pembangunan daerah Sik
SIK: Pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam proses meneroka peluang kerjasama dengan Al-Ridzuan Travel & Tours Sdn Bhd bagi mempromosikan produk pelancongan di daerah Sik melalui pendekatan pemasaran digital.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan awal daripada Majlis Daerah Sik (MDS) dan dijangka dapat meningkatkan daya tarikan destinasi pelancongan di kawasan ini.
Pasukan penyelidik UUM yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang seperti bahasa, tamadun, falsafah, teknologi multimedia, dan pengurusan industri kreatif, sedang merangka strategi untuk menghasilkan video promosi yang memaparkan keunikan pelancongan di Sik.
Ketua penyelidik, Dr. Nor Hanani Ismail berkata, dengan gabungan kepakaran ini, projek tersebut dijangka dapat menyediakan platform yang inovatif dan efektif untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan.
Delegasi penyelidik UUM lain turut melibatkan beberapa ahli akademik, termasuk Prof. Madya Dr. Zawiyah Mohd. Zain, Dr. Salmah Omar, Dr. Mohd. Nizam Saad, Dr. Yusrita Mohd. Yusoff dan Mohamad Amir Abu Seman @ Ismail.
Pasukan ini telah mengadakan pertemuan dengan pihak MDS pada 22 Oktober untuk meneruskan perbincangan tentang potensi kerjasama ini. – Dr. Nor Hanani Ismail