Education

Penyelidik UUM teroka khazanah padi huma Kedah

Gambar Penyelidik dan pelajar UUM

SIK, 25 November 2025: Khazanah padi tradisional Kedah terus diperkasakan apabila sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM), melalui pembiayaan geran universiti, menganjurkan Bengkel Praktis Amalan Pertanian Baik bersama penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka dengan kerjasama Jabatan Pertanian Kedah, Persatuan Padi Huma Warisan Sik dan Srilovely Organic Rice Farm.

Inisiatif ini bertujuan untuk memindahkan pengetahuan berkaitan warisan padi tradisional (indigenous) Kedah atau juga dikenali sebagai Padi Huma atau Padi Bukit melalui pendekatan Sekolah Lapangan Petani (Farmer Field School – FFS), iaitu proses pembelajaran komuniti secara berkumpulan yang menggalakkan kerja eksperimen dan menyelesaikan masalah melalui perbincangan dan perkongsian pengalaman.

Menariknya, pendekatan komuniti pertanian di Sik masih mengekalkan nilai budaya Melayu seperti gotong-royong, meraikan tetamu, serta menjaga keseimbangan ekosistem setempat—suatu identiti sosial yang bukan sahaja menyuburkan tanah, tetapi juga hubungan insani.

Bengkel yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Othman itu turut melibatkan sesi praktikal di Plot 1, Padi Huma Beris, di Pusat Pelancongan D’ Puncak Beris Lake Resort, milik peserta belia, Mohd Zaini Hashim, yang menanam enam variasi padi tradisional bagi tujuan pemuliharaan, pembelajaran lapangan dan eko pelancongan.

Bengkel ini juga adalah susulan bengkel pertama yang turut disertai oleh peserta padi huma daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Pengerusi Persatuan Padi Huma Warisan Sik, Zainoodin Isa berkata, variasi padi tradisional yang menjadi identiti Sik ini termasuk Tangkai Langsat (MRGB 03837), Biji Hitam, Jarum Mas dan Jari Burung.

Menurutnya, kepentingan variasi ini turut diiktiraf oleh pakar komuniti, Yusuf Musa, kerana mempunyai nilai keistimewaan dari segi aroma, tekstur dan rasa.

Sementara itu, pelatih petani, Zakaria Kamantasha berkata, peyediaan taman permainan astakona untuk serangga merupakan elemen penting dalam kejuruteraan ekologi, sekali gus menyokong kawalan perosak semula jadi, pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian hidup petani.

“Pendekatan ini selari dengan prinsip Amalan Pertanian Baik (GAP) dan dasar pertanian mampan negara.

“Usaha penerokaan, dokumentasi dan perkongsian ilmu mengenai Padi Huma Kedah ini bukan sekadar mengangkat warisan makanan, tetapi juga menyumbang kepada keselamatan makanan negara, pembangunan sosioekonomi luar bandar serta pemeliharaan identiti budaya pertanian negeri Jelapang Padi,” katanya.

Turut hadir menyokong program ini ialah wakil Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Majlis Daerah Sik, Ecopro Training Centre (Kebun Abi) Kangar, serta beberapa pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), dan penyelidik dari UiTM Sabah.

Inisiatif ini sekali lagi membuktikan komitmen UUM dalam memajukan masyarakat melalui penyelidikan berimpak, pemindahan ilmu dan pengukuhan jaringan strategik antara universiti, komuniti dan agensi. – Dr. Fadhilah Mat Yamin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button